Sabtu, 16 April 2016 | 7:21pm

Dua maut lori rempuh treler


KEMALANGAN membabitkan sebuah lori tiga tan dan treler di Jalan Klang Banting, berdekatan Bandar Parklands, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba

KLANG: Dua lelaki maut selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terbabas dan merempuh sebuah treler di Jalan Klang Banting, berdekatan Bandar Parklands, di sini, kira-kira jam 4.10 petang tadi.

Pemandu lori berkenaan, Mohd Anuar Hussin, 41, berasal dari Kuala Krai, Kelantan, dan kelindannya, Hoe Koon Long, 57, beralamat di Seri Kembangan, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata lori tiga tan itu datang dari arah Klang menghala ke Banting, manakala treler berkenaan datang dari arah Banting menghala ke Klang.

Katanya, saksi kejadian memaklumkan kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) melanggar bahagian belakang lori tiga tan itu, menyebabkan kenderaan berat itu terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan treler berkenaan.  

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan kelindan lori itu tersepit dalam lori berkenaan manakala pemandu treler terselamat.

"Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi pada jam 4.45 petang," katanya ketika dihubungi.

Akibat pelanggaran dengan treler itu, lori tiga tan berkenaan terbabas ke tepi jalan manakala MPV yang dipercayai melanggarnya terhenti di tengah-tengah pembahagi jalan.

Ketika kejadian-kedua-dua kenderaan berat berkenaan tidak membawa sebarang muatan.

Difahamkan pemandu MPV berkenaan melarikan diri dari tempat kejadian selepas kemalangan itu.

Berita Harian X