Sabtu, 16 April 2016 | 3:45pm

Tidak tutup anak syarikat yang main peranan CSR


Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) menandatangani plak sambil diperhatikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail (dua dari kiri) ketika merasmikan Pejabat Tabung Haji Pasir Gudang di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri Johor tidak akan menutup anak syarikat yang tidak untung jika syarikat itu ditubuhkan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR) yang mempunyai elemen subsidi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ada banyak sebab syarikat tidak untung atau rugi.

Ada sesetengah agensi kerajaan katanya, yang menyediakan kemudahan seperti menyediakan rumah kedai umpamanya yang tidak ditawarkan pada harga pasaran, ia ada elemen subsidi.

"Kalau ada syarikat tidak berjaya kerana pengurusan lemah, itu kita boleh timbang untuk tutup tetapi memang ada syarikat tujuannya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial, maka ada kewajaran kita meneruskan usaha itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pejabat Tabung Haji Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail serta Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Beliau mengulas mengenai titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika merasmikan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-13, Khamis lalu, yang mencadangkan syarikat yang sudah tidak berupaya dan terus menanggung hutang ditutup daripada terus membazirkan duit rakyat.

Berita Harian X