Jumaat, 15 April 2016 | 7:18pm

Media Prima umum CEO baharu Media Prima Digital


KETUA Pegawai Eksekutif baharu (CEO) Media Prima Digital (MPD), Rafiq Razali.

KUALA LUMPUR : Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu (CEO) Media Prima Digital (MPD), Rafiq Razali berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pelantikannya sebagai CEO akan memberi peluang lebih luas untuk memperkenalkan lebih banyak aplikasi inovatif bagi memenuhi kehendak pengguna.

Setakat kini, beliau berkata, MPD terbukti berjaya melaksanakan peranannya dalam pembangunan aplikasi digital seperti Tonton serta pelbagai lagi perkhidmatan atas talian lain.

Jelas Amrin, pelantikan Rafiq juga sejajar komitmen Media Prima untuk mengukuhkan lagi kedudukan sebagai kumpulan media bersepadu terunggul di Malaysia.

Rafiq, 31, memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Aktuari dari Pennsylvania State University, Amerika Syarikat.

Beliau berpengalaman dalam pembangunan perniagaan dan perancangan strategik dalam bidang teknologi maklumat, selain rekod cemerlangnya dalam membangunkan perniagaan berasaskan teknologi dan digital.

Kerjaya beliau dalam bidang industri teknologi maklumat bermula bersama Maxis Berhad, dengan menyandang pelbagai jawatan termasuk di unit International Data Wholesale, kemudiannya berkhidmat di jabatan strategi korporat sebagai pembantu khas.

Pada tahun 2011, Rafiq diberi tanggungjawab sebagai ketua unit di bahagian produk dan pelancongan Groupon Malaysia, sebuah syarikat e-dagang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dua tahun selepas itu, beliau dilantik menjadi Pengurus Besar Negara Groupon Malaysia.

Tahun lalu, Rafiq bersama beberapa pelabur menubuhkan KFit, sebuah syarikat yang menyediakan aplikasi mudah alih untuk pengguna merancang aktiviti kesihatan seperti keahlian ke gimnasium dan studio kecergasan.

Rafiq juga sebahagian daripada pengasas dan pemegang saham KFit serta Naib Presiden KFit.

Berita Harian X