Jumaat, 15 April 2016 | 3:49pm

3 kawasan rekreasi Terengganu dipantau


PENGARAH Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Leftenan Kolonel (PA), Che Adam A Rahman dan Ketua Pengawal Keselamatan Primula Beach Resort, Nor Kamal Othman meninjau kawasan zon selamat mandi-manda di Pantai Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, pagi ini. - Foto Imran Makhzan

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu memberi tumpuan utama di tiga kawasan rekreasi termasuk dua lokasi air terjun di negeri ini, dalam usaha mengelak kejadian lemas.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA), Che Adam A Rahman, berkata JPAM negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengawal serta memantau keselamatan pengunjung.

"Walaupun keanggotaan JPAM terhad untuk dihantar bertugas sepanjang masa termasuk pada hari cuti am di kawasan rekreasi dan lokasi air terjun, kita tetap menempatkan petugas demi keselamatan pengunjung.

"Ketua rombongan yang bercadang membawa ahli mereka ke kawasan rekreasi dan lokasi air terjun perlu memaklumkan kepada Jabatan Perhutanan negeri serta PBT lebih awal bagi memudahkan JPAM menempatkan anggota, selain peralatan bantuan kecemasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan zon selamat mandi-manda di Pantai Primula Beach Resort, di sini, pagi ini.

Turut hadir Ketua Pengawal Keselamatan Primula Beach Resort, Nor Kamal Othman.

Che Adam berkata, lokasi air terjun yang diberi keutamaan ialah Air Terjun Sekayu, Kuala Berang dan Cemerong, Pasir Raja, Hulu Dungun serta kawasan rekreasi perkelahan Belukar Bukit, Hulu Terengganu.

Katanya, kawasan air terjun Sekayu dan Cemerong berada di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan negeri, manakala pusat rekreasi perkelahan Belukar Bukit dikendalikan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT).

22 dibaca
Berita Harian X