Khamis, 14 April 2016 | 1:50pm

Jualan MERCEDES-Benz Malaysia naik 41 peratus pada suku pertama 2016


MERCEDES-Benz Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kenderaan premium tempatan apabila mencatat pertumbuhan jualan 41 peratus pada suku pertama 2016. - Foto fail AFP

KUALA LUMPUR: MERCEDES-Benz Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kenderaan premium tempatan apabila mencatat pertumbuhan jualan 41 peratus pada suku pertama 2016, prestasi sukuan terbaiknya setakat ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner, berkata syarikat itu menjual 2,658 unit kenderaan pada suku dikaji dengan C-Class mengekalkan kedudukan sebagai segmen pilihan dengan 1,359 unit dijual, mewakili peningkatan 871 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Katanya, segmen limosin pemasangan tempatan mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan jualan 1,814 unit, pertumbuhan 26 peratus manakala segmen E-Class dan S-Class pemasangan tempatan masing-masing mencatat jualan 260 unit dan 195 unit.

Beliau berkata, segmen kereta kompak mencatat pertumbuhan jualan memberangsangkan sebanyak 59 peratus membabitkan 664 unit, manakala generasi baharu A-Class yang dilancarkan awal tahun ini mencatat jualan 300 unit, meningkat 38 peratus.

"Segmen CLA terus mengekalkan pertumbuhan mantap, mencatat peningkatan jualan 200 peratus dengan 183 unit dijual, manakala 170 unit SUV serba baharu yang pertama kali diperkenalkan awal tahun ini berjaya dijual, mewakili 121 unit varian GLC dan 49 unit varian GLE," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media membentangkan pencapaian jualan suku pertama jenama kenderaan itu di sini, hari ini. Hadir sama, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine.

Pada suku pertama 2016, dua pengubahsuaian Mercedes-Benz Cycle & Carriage Bintang Autohauses dilancarkan yang memperkenalkan identiti korporat dan penambahbaikan bilik pameran dan ruang pelanggan di Petaling Jaya dan Georgetown. Ia membabitkan pelaburan RM11 juta.

Pada suku sama, Mercedes-Benz Cycle & Carriage Bintang Autohauses turut memperkenalkan Mercedes-Benz City Store dengan konsep dan pengalaman pelanggan baharu membabitkan pelaburan RM4.3 juta.

"Meraih kedudukan teratas tidak berlaku semalaman. Kejayaan kami hasil gabungan semua inisiatif yang diambil kami," katanya Weidner.

Beliau berkata, dalam tahun yang mana jenama Mercedes-Benz menyambut ulang tahun ke 130, Mercedes-Benz Malaysia memperbaharui komitmen di pasaran tempatan dengan terus memberi tumpuan kepada aspek kepuasan pelanggan penting menerusi rangkaian pengedarannya.

Sementara itu, Raine berkata bagi baki 2016, lebih banyak kejutan akan dibuat Mercedes-Benz Malaysia, membabitkan pengenalan tiga produk baharu, tiga produk dinaiktaraf, dua varian enjin dan satu pengubahsuaian kosmetik.

Berita Harian X