Khamis, 14 April 2016 | 11:40am

Ahli Dewan jangan jadi musuh dalam selimut - Sultan Johor


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mencemar duli memasuki ke dalam dewan pada Majlis Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang Ke-13, turut mencemar duli, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sambil diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Bukit Timbalan, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini menzahirkan kepercayaan penuh terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan barisan kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.

Baginda bertitah, Mohamed Khaled berjaya meletakkan nama Johor bukan hanya di negara ini, malah di rantau Asia.

"Kemajuan dicapai di bawah kepimpinan beliau (Mohamed Khaled) membolehkan Johor mengorak langkah jauh ke hadapan dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai sebuah hab ekonomi utama di rantau ini.

"Saya berharap tidak ada ahli dalam dewan ini yang menjadi musuh dalam selimut yang cuba mengganggu kestabilan politik yang tegap kukuh di negeri Johor ini," titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Dalam titah Sultan Ibrahim, Baginda mengingatkan semua pihak jangan menyamakan Johor dengan negeri lain kerana Bangsa Johor setia pada agama, bangsa dan tanah air, berani kerana benar, bersatu menghadapi cabaran dan bermuafakat dalam mencari keberkatan.

52 dibaca
Berita Harian X