Khamis, 14 April 2016 | 11:00am

Pemain Kedah dituntut jangan hilang fokus


ALEKSANDAR Kolarov ketika mengambil sepakan penalti ketika menentang pasukan Bologna. - Foto EPA

ALOR SETAR: Pemain Kedah diingatkan agar tidak hilang fokus ketika berhadapan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA, di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Ketua Jurulatihnya Tan Cheng Hoe berkata fokus perlu diberikan di bahagian pertahanan yang sering hilang tumpuan dan leka sehingga mudah untuk pasukan lawan menjaringkan gol dengan mudah.

Beliau berkata jentera serangan JDT yang mantap perlu dikawal dengan lebih ketat agar mereka tidak membolosi gawang pasukan tuan rumah dan pemainnya perlu mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Pemain sudah mengetahui kelemahan mereka sebelum ini dan mereka segera memperbaiki kelemahan tersebut bagi mengelak gawang Kedah dibolosi. Jika kita berjaya kekang JDT untuk jaring gol, saya anggap kita terbaik pada malam itu.

Kita juga perlu memperbaiki pada bahagian serangan di mana Carlos Eduardo perlu berkerja keras untuk menghasilkan gol, malah Carlos kini semakin serasi untuk bermain sebagai satu pasukan," katanya kepada Bernama selepas mengendalikan latihan pasukan Kedah, semalam.


KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe. - Foto Owee Ah Chun

Tan berkata semua pemain perlu mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang 90 minit perlawanan dalam usaha untuk menjaringkan gol kemenangan sebagai bekalan untuk bertandang di Stadium Larkin, Johor Baharu.

Beliau berkata pemainnya tidak tertekan untuk berhadapan dengan pasukan JDT sebaliknya mereka lebih bersemangat dalam usaha untuk ke peringkat final Piala FA.

Selain itu, katanya semua pemainnya bebas daripada kecederaan serius termasuk Sandro Da Silva yang mengalami kecederaan sebelum ini kembali cergas sepenuhnya untuk berhadapan dengan pasukan lawan. - BERNAMA

Berita Harian X