Khamis, 14 April 2016 | 7:48am

QL Resources labur RM100j, buka 300 FamilyMart


PENGARAH Pembangunan Korporat QL Resources Bhd, Chia Lik Khai. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: QL Resources Bhd merancang melabur RM100 juta bagi tempoh lima hingga enam tahun akan datang untuk mewujudkan kira-kira 300 cawangan kedai serbaneka di bawah jenama terkemuka dari Jepun, FamilyMart di Semenanjung Malaysia.

Pengarah Pembangunan Korporat, Chia Lik Khai, berkata cawangan FamilyMart dijangka dibuka pada Disember ini dan QL Resources sedang giat mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.

"Pembabitan dalam perniagaan rangkaian peruncitan dilihat mampu menyediakan peluang pertumbuhan perniagaan kepada kumpulan, khususnya melihatkan kehendak pengguna yang sentiasa menginginkan kemudahan, pengalaman dan produk berkualiti seperti yang disediakan oleh jenama berkenaan.

"Malah, kami melihat pasaran masih pesat berkembang dengan terdapat peluang untuk pemain lain meneroka potensi yang ada dan menawarkan kelainan kepada pengguna," katanya pada Invest Malaysia 2016 di sini.

FamilyMart adalah rangkaian kedai serbaneka ketiga terbesar di Jepun, selepas 7-Eleven dan Lawson, serta pernah menjadi rangkaian kedai terbesar di Korea Selatan (yang kini dinamakan sebagai CU).

Hingga 31 Mac lalu, jenama yang berusia 35 tahun itu beroperasi di pasaran tujuh buah negara di seluruh dunia termasuk Taiwan, China, Thailand, Filipina, Vietnam dan Indonesia menerusi 17,540 buah cawangan.

Lik Khai memaklumkan, pada peringkat awal, QL Resources sebagai pemegang francais utama akan menguruskan rangkaian kedai serbaneka itu sebelum memperluaskannya menerusi sistem perniagaan francais selepas jenama berkenaan lebih kukuh.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 11 April lalu, QL Resources berkata, pembabitan dalam peruncitan kedai serbaneka itu adalah perluasan perniagaan yang strategik terhadap perniagaan pengeluaran dan pengedaran makanannya pada masa ini, sekali gus menyediakan kesan sinergi bagi kumpulan berkenaan.

Perjanjian francais dimeterai oleh unit milik penuh syarikat berkenaan, Maxincome Resources Sdn Bhd dengan FamilyMart Co Ltd yang berpangkalan di Tokyo adalah untuk 20 tahun dan boleh diperbaharui 20 tahun berikutnya mengikut pilihan francaisi.

93 dibaca
Berita Harian X