Rabu, 13 April 2016 | 11:25am

Dua maut, 2 cedera, kemalangan 5 kenderaan di Pedas


ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas kemalangan itu. - Foto ihsan Bomba

REMBAU: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kereta dan sebuah lori di Kilometer 235.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata kejadian berhampiran Plaza Tol Pedas, kira-kira jam 10.40 malam itu menyebabkan pemandu kereta PROTON Wira meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduknya.

Katanya, seorang wanita iaitu penumpang kereta sama pula meninggal dunia, kira-kira jam 9 pagi ini, ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

"Nahas dipercayai berlaku apabila pemandu kereta PROTON Wira terlanggar sebuah lori tiga tan di laluan paling kiri.

"Ini menyebabkan kereta itu terbabas ke laluan kanan dan tiga buah kereta lain, iaitu PERODUA Alza, Toyota Vios dan PROTON Saga, gagal mengelak lalu melanggar kereta itu," katanya di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, seorang penumpang lain PROTON Wira dan PERODUA Alza yang cedera, kini dirawat di HTJ manakala mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Tampin.

Berita Harian X