Rabu, 13 April 2016 | 10:11am

BN Sarawak berpeluang menang besar

DARIPADA 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, 64 daripadanya dianggap sebagai 'kawasan putih' atau mampu dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 yang bakal diadakan.

Ini bermakna, baki 18 kerusi lagi bakal menjadi rebutan. Ketika PRN Ke-10 pada 2011, BN menang 55 kerusi manakala pembangkang menguasai 15 kerusi dan satu dimenangi calon Bebas, tetapi ketika itu, jumlah kerusi dipertandingkan cuma 71.

DAP menang 12 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meraih tiga kerusi. Ketika sempadan pilihan raya disusun semula dan jumlah kerusi juga bertambah, ramai pemerhati melihat pembangkang sukar berganjak daripada jumlah kerusi diraih.

Bahkan, ada yang menjangka DAP akan hilang beberapa kerusi kerana fokus mereka hanya di kawasan bandar. Disebabkan ia sudah mencapai tahap optimum, sokongan kepada mereka dilihat statik apatah lagi jumlah pengundi juga berpecah mengikut sempadan baharu.

Mereka mungkin hanya kekal berkuasa di 10 DUN yang dianggap 'kawasan hitam' oleh BN, iaitu Padungan, Pending, Batu Lintang, Repok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan, Kiduron, Pujut dan Krian.

Penganalisis politik yang juga pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Faisal Syam H Hazis, yang menjalankan kajian mengenai trend pilihan raya di Sarawak cukup yakin dengan senario itu tetapi mengingatkan BN harus berhati-hati.

Katanya jika BN tersilap langkah, lapan 'kawasan kelabu' yang bakal menjadi rebutan mungkin bertukar servis sama ada kepada BN atau kepada pembangkang.

Kawasan disifatkan 50/50 itu ialah Padungan, Pending, Batu Lintang, Repok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan, Kidurong, Pujut dan Krian.

Jika BN mampu menyelesaikan banyak isu berbangkit di kawasan ini termasuk soal pemilihan calon, mereka berpeluang besar untuk menang.

Walaupun ada antara kawasan ini mungkin layak dikategorikan sebagai kawasan hitam, beliau yakin BN tetap mempunyai peluang sama rata jika bijak memilih calon termasuk di Ba'kelalan yang kini dikuasai Pengerusi PRK Sarawak, Baru Bian.

Letak calon tepat

Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kesan Kepemimpinan Adenan Satem dalam PRN Sarawak 2016, Dr Mohd Faisal optimis BN akan menang dengan majoriti dua pertiga dengan syarat mesti meletakkan calon yang tepat dan tidak melakukan kesilapan pada saat akhir.

Penulis turut bersetuju dengan pendapatnya yang mengatakan, faktor 'Adenan' dan kepercayaan rakyat kepada Ketua Menteri itu akan menjadi pendorong kuat kepada armada BN untuk meraih undi dan kemenangan.

Kajian terkini menunjukkan populariti Adenan meningkat kepada 85 peratus selepas berjaya membuktikan daya kepemimpinan berkesan dan menjuarai banyak isu rakyat sepanjang tempoh lebih 600 hari menerajui kerajaan negeri.

Itu termasuk membanteras soal pembalakan haram dan rasuah serta menangani isu bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua dengan begitu baik.

Faktor itu memberi kelebihan kepada beliau kerana rakyat mahukan pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Sarawak dan ketika ini, Adenan adalah pemimpin paling layak.

Cuma, apa yang diharapkan ialah armada jentera BN dapat membantu untuk terus meningkatkan keyakinan rakyat dan memastikan mereka menterjemahkan sokongan itu kepada bentuk sokongan undi ketika PRN nanti.

Semboyan akan dibunyikan, DUN bakal dibubarkan dan cuma menunggu masa untuk gerak gempur sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan mengundi.

Berita Harian X