Rabu, 13 April 2016 | 8:16am

Warga India rentung di dapur


SEORANG lelaki warga India ditemui rentung selepas rumah didiami di Flat PKNS, Sri Subang, Subang Jaya terbakar kira-kira jam 4 pagi tadi.

SUBANG JAYA: Seorang lelaki warga India ditemui rentung selepas rumah didiami di Flat PKNS, Sri Subang, di sini, terbakar kira-kira jam 4 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai R Shanmugam, 44, berasal dari Tamil Nadu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kebakaran membabitkan bahagian dapur sebuah rumah terletak di tingkat bawah flat lima tingkat itu.

Katanya, tiga jentera dengan kekuatan lima anggota dari Balai Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.13 pagi dan tiba lima minit kemudian.

"Bomba yang melakukan operasi pemadaman menemui seorang lelaki di bahagian dapur dalam keadaan rentung.

"Bagaimanapun, api berjaya dikawal daripada merebak ke bahagian lain dalam rumah itu," katanya.

Mohd Sani berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X