Rabu, 13 April 2016 | 12:02am
PENYEDUT hampagas digunakan oleh Abang Roy Cleaner bagi membersihkan kenderaan pelanggan di Sungai Karang. - Foto Shahrinnahar Latib
KEADAAN kotoran pada pintu kenderaan milik pelanggan sebelum dicuci pekerja Abang Roy Cleaner. - Foto Shahrinnahar Latib
KEADAAN bahagian dalam pintu sebuah kenderaan milik pelanggan selepas dicuci pekerja Abang Roy Cleaner. - Foto Shahrinnahar Latib

Abang Roy Cleaner cabaran empat sahabat



KUANTAN: Debu bauksit yang melekat pada kelengkapan rumah dan kenderaan, sering menjadi igauan penduduk negeri ini, kerana kesannya sukar dibersihkan.

Namun, di sebalik kesukaran menghilangkan kotoran itu, sekumpulan empat pemuda sepakat menjadikan pembersihan kesan berkenaan sebagai sebahagian daripada cabaran kepada pekerjaan yang baru mereka ceburi.

Sepakat membentuk syarikat dikenali sebagai Abang Roy Cleaner, mereka memberi perkhidmatan mencuci bahagian dalaman kenderaan termasuk kusyen kereta, permaidani, sofa dan tilam dari rumah ke rumah.

Kekuatan Ahmad Sairul Azali Mohamad, 35; Mohd Ridzuan Wahab, 37; Mohd Hidayat Abdullah serta Mohd Al-Amin Baharom, masing-masing 32 tahun, terletak kepada kesediaan mereka mencuci apa saja yang menjadi harapan pelanggan.

Ketika memulakan perniagaan lebih sebulan lalu, empat sahabat itu tidak mempunyai latar belakang dalam bidang mencuci bahagian dalaman kenderaan dan kelengkapan rumah kerana mereka bekerja dalam bidang sektor minyak dan gas.


PEKERJA Abang Roy Cleaner sedang menyiapkan peralatan untuk membasuh kusyen kenderaan pelanggan di Sungai Karang. - Foto Shahrinnahar Latib

PEKERJA Abang Roy Cleaner menyembur bahan pencuci untuk membasuh kusyen kenderaan pelanggan di Sungai Karang. - Foto Shahrinnahar Latib

Ahmad Sairul dan Mohd Ridzuan sebelum ini adalah jurutera kualiti syarikat minyak dan gas di kawasan Perindustrian Gebeng di sini, manakala Mohd Hidayat dan Mohd Al-Amin adalah penyelia di tempat sama.

Antara lain, mereka yang bertugas di bahagian salutan paip dan memastikan sistem perpaipan bagi menyalurkan minyak dan gas tidak mempunyai sebarang masalah termasuk kebocoran.  

Ahmad Sairul yang juga graduan kejuruteraan Universiti Malaya, berkata mereka sepakat mengambil keputusan berhenti kerja untuk menceburi perniagaan itu berikutan kekurangan projek dalam sektor minyak dan gas sukan kejatuhan harga minyak dunia.

Mereka sepakat bekerja sendiri untuk menyara kehidupan dan mengakui menempuh tempoh sukar pada peringkat awal sebelum mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar beberapa individu mengenai selok belok perniagaan dan teknik cucian yang terbaik.

"Bagi kami semua bidang kerja adalah sama, memerlukan pembelajaran di peringkat awal. Setakat ini semuanya berjalan lancar, kami mendapat maklum balas yang positif selepas memberikan khidmat mencuci kenderaan dan kelengkapan rumah di sekitar Kuantan.


KUSYEN sebuah kereta pelanggan sebelum pencucian dilakukan pekerja Abang Roy Cleaner. - Foto Shahrinnahar Latib

KEBERSIHAN jelas terserlah selepas kusyen kenderaan milik pelanggan dicuci pekerja Abang Roy Cleaner. - Foto Shahrinnahar Latib

"Paling penting bagi kami, pelanggan berpuas hati dengan khidmat mencuci yang kami berikan. Kami berpengalaman mencuci sebuah kenderaan pacuan empat roda yang bahagian dalamannya dipenuhi debu bauksit dan pemiliknya mendakwa tiada kedai yang sanggup membersihkannya.

"Kami ambil tugas itu sebagai cabaran dan buktikan keupayaan. Alhamdulillah kami mampu melakukannya selepas mengambil masa dua hari membersihkan kotoran akibat debu bauksit," katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Ahmad Sairul berkata, mereka mendapat idea menyediakan khidmat mencuci bahagian dalaman kenderaan, permaidani, sofa dan tilam kerana ada permintaan daripada orang ramai yang tidak gemar menghantar kenderaan mereka ke kedai.

"Menerusi perkhidmatan ini, kami akan pergi ke rumah atau pejabat pelanggan dan membersihkannya di tempat sama. Mereka tidak perlu ke kedai seperti sebelum ini dan tempoh menunggu juga tidak begitu lama.


PEMILIK bersama Abang Roy Cleaner, Ahmad Sairul Azali Mohamad, 35. - Foto Shahrinnahar Latib

ANTARA peralatan dan bahan pencuci yang digunakan untuk membasuh kusyen kenderaan pelanggan di Sungai Karang. - Foto Shahrinnahar Latib

"Kami juga boleh mengambil kenderaan atau barangan pelanggan untuk dibersihkan di tempat kami. Setakat ini kami sudah pergi ke pelbagai tempat sekitar Kuantan antaranya Cherating dan Inderapura," katanya.

Walaupun baru bermula lebih satu bulan lalu, namun Abang Roy Cleaner pantas berkembang dan mereka kini mempunyai dua mesin hampagas khas untuk mempercepatkan proses pembersihan.

"Kini kami ada dua pasukan pembersihan yang boleh memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan. Kami sedia mengembangkan perkhidmatan ini ke luar Kuantan, bergantung kepada permintaan kerana ketika ini, kami ada menerima panggilan daripada pelbagai tempat termasuk luar Pahang," katanya.

Ahmad Sairul berkata, sama seperti peniaga lain, mereka turut memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan.

"Perkhidmatan kami sediakan ini bukan sahaja memudahkan pelanggan yang hanya perlu menunggu di rumah tetapi kadarnya juga amat berpatutan, mungkin lebih murah berbanding tempat lain," katanya.


PEKERJA Abang Roy Cleaner sedang menyiapkan peralatan untuk membasuh kusyen kenderaan pelanggan di Sungai Karang. - Foto Shahrinnahar Latib

Berita Harian X