Selasa, 12 April 2016 | 5:48pm

Warga JPN tidak terbabit sindiket pemalsuan kad pengenalan

PUTRAJAYA: Kakitangan dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) langsung tidak terbabit dengan mana-mana sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata berdasarkan siasatan yang dilakukan, kegiatan itu didalangi beberapa kumpulan terutama di Sabah.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN), melalui JPN, sentiasa melakukan pemantauan dan tangkapan berhubung penggunaan kad pengenalan palsu terutama berdasarkan maklumat yang diberikan orang awam.

"Siasatan juga mendapati tiada kakitangan atau pegawai JPN terbabit dalam pemalsuan kad pengenalan di negara ini, sebaliknya kegiatan terbabit didalangi sindiket yang sentiasa bergerak secara berkumpulan untuk mencari pelanggan.

"Sistem yang terdapat di JPN mampu mengenalpasti pesalah menggunakan kad pengenalan palsu yang dibuat sindiket ini, sekali gus mengesahkan ia tidak dikeluarkan oleh mana-mana kakitangan atau pegawai JPN," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN tahun 2015, di sini hari ini.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau mengucapkan tahniah kepada JPN kerana mendapat pengiktirafan lima bintang buat kali ketiga untuk Penilaian Indeks Sistem Star Rating (SSR) daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Nur Jazlan menjelaskan, kad pengenalan yang dirampas daripada pesalah akan disemak dalam pangkalan data JPN dan pada kebiasaannya, cip pada kad pengenalan palsu yang dicetak sindiket tidak menyamai sebarang data atau maklumat yang ada di JPN.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Ops ID yang dilaksanakan oleh JPN pada Ahad lalu yang berjaya menahan empat lelaki warga Filipina kerana memiliki kad pengenalan palsu.

Terdahulu, pada 6 April lalu, tiga lelaki Filipina turut ditahan kerana kesalahan sama.

Dalam penguatkuasaan di Petaling Jaya dan Shah Alam, Selangor itu, kesemua suspek pada awalnya mengaku berasal dari Sandakan, Sabah, namun siasatan lanjut mendapati mereka berasal dari Basilan, Filipina dan membeli kad pengenalan palsu melalui sindiket di Sabah dengan harga antara RM500 hingga RM800 setiap satu.

Nur Jazlan berkata, operasi yang dilaksanakan JPN itu juga menunjukkan agensi itu sentiasa peka dengan setiap permasalahan yang timbul terutamanya membabitkan kegiatan pemalsuan kad pengenalan dan perkara itu agak sukar dibanteras kerana kumpulan sindiket sentiasa berubah.

Berita Harian X