Selasa, 12 April 2016 | 3:24pm

SecureWorks IPO mega pertama sektor teknologi 2016

BENGALURU: Unit keselamatan siber Dell Inc, SecureWorks Corp akan bernilai sehingga AS$1.42 bilion (RM5.52 bilion) dalam tawaran awam permulaannya (IPO), yang juga penyenaraian syarikat teknologi utama Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

SecureWorks yang berpangkalan di Atlanta, Georgia berkata tawarannya dijangka berharga antara AS$15.50 hingga AS$17.50 bagi setiap saham Kelas A, sekali gus dijangka menjana hasil sehingga AS$157.5 juta (RM612.52 juta) daripada IPO.

Pasaran terbitan saham di seluruh dunia merosot ke paras terendah dalam tempoh tujuh tahun pada suku pertama 2016, susut lebih separuh berbanding setahun lalu kepada AS$106.6 bilion (RM414.54 bilion), apabila kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi perlahan menyebabkan pelabur gusar, menurut data Thomson Reuters.

"Daripada paras rendah seperti itu, hanya ada satu saja hala tuju dan hala tuju itu ialah meningkat," kata pakar IPO dan profesor kewangan di University of Florida, Jay Ritter kepada Reuters.

"Saya tidak menjangkakan berlaku kebanjiran IPO, namun sudah pasti jumlah syarikat dalam pelbagai industri yang mahu disenaraikan akan bertambah."

Beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai firma keselamatan siber seperti FireEye Inc, Rapid7 Inc dan Mimecast Ltd menjadi syarikat senaraian awam bagi mengambil peluang daripada peningkatan minat pelabur terhadap mereka selepas berlaku banyak serangan siber ke atas perniagaan termasuk bank dan peruncit.

Bagaimanapun, saham Rapid7 dan FireEye yang melonjak 70 hingga 80 peratus pada kemunculan sulung masing-masing, kini diniagakan jauh di bawah harga IPO.

Saham Mimecast, yang melonjak 20 peratus pada hari penyenaraian kini juga jatuh di bawah harga tawarannya.

Ritter memberi amaran terhadap penetapan harga premium bagi firma keselamatan siber dengan berkata, syarikat berkenaan bergelut untuk menguasai pasaran yang menyebabkan pertumbuhan keuntungan mereka begitu terhad.

The Wall Street Journal pada Oktober lalu melaporkan bahawa Dell, pengeluar komputer peribadi ketiga terbesar dunia sudah memfailkan penyenaraian SecureWorks, yang dibelinya pada harga AS$612 juta (RM2.38 bilion) pada 2011.

Ditubuhkan pada 1999, SecureWorks mempunyai 4,200 pelanggan di 59 negara.

Syarikat itu merancang untuk menyebaraikan saham biasa Kelas A di Nasdaq menggunakan simbol "SCWX."

Bank of America Merrill Lynch, Morgan Stanley , Goldman Sachs & Co dan JP Morgan adalah antara penaja jamin bagi IPO SecureWorks. - Reuters

Berita Harian X