Isnin, 11 April 2016 | 8:22pm

KPKT tidak tolak ansur penyalahgunaan rumah PPR


Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Mohamad Yusoff Ghazali (kiri) semasa sesi cabutan undian pada majlis Pelancaran dan Cabutan Undi Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Swasta (MYHOME), semalam. Turut hadir Pengarah Urusan Wealth Plateu Sdn Bhd Datuk Ahmad Kamal Kasani (kanan). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan dua operasi bagi memeriksa 317 unit rumah untuk semakan sewa tertunggak dan penyalahgunaan di bawah 'Ops Sejahtera Komuniti'.

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Datuk Mohamad Yusoff Ghazali, dalam satu kenyataan sebentar tadi, menegaskan pihaknya tidak bertolak ansur dalam isu berkenaan dan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya penyewa dan pemilik PPR menyalahguna insentif kerajaan itu untuk kepentingan individu.

Beliau berkata, syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR menetapkan bahawa penyewa tidak dibenarkan menyewa atau melepaskan pemilikan rumah itu kepada orang lain walaupun hanya sebahagian daripadanya.

"Seandainya didapati melanggar syarat-syarat penyewaan ini, penyewa akan diberikan Notis Penamatan oleh Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Bagi penjualan rumah PPR pula, secara amnya pembeli tertakluk kepada klausa di dalam Perjanjian Jual Beli dan Surat Akuan Bersumpah yang menyatakan 'Untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain'.

"Jika didapati melanggar klausa ini, pembeli PPR boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh pihak mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 sekiranya didapati bersalah," katanya.

JPN menjalankan dua 'Ops Sejahtera Komuniti' itu di PPR Jalan Sagindai, Sabah pada 5 Mac 2016 dan PPR Pudu Ulu, Kuala Lumpur pada 2 April 2016 secara bersepadu bersama PBT, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia dan agensi lain yang berkenaan.

Sebanyak 62 Notis Peringatan dikeluarkan untuk sewaan tertunggak dan dan 37 Notis Penamatan kepada penyewa yang menyewakan unit kediaman kepada pihak ketiga oleh PBT terbabit.

Yusoff berkata, KPKT melalui JPN juga sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan 'Ops Sejahtera Komuniti' dijalankan secara berterusan di semua PPR di bawah negeri masing-masing untuk memantau isu penyalahgunaan itu.

Jelas beliau, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, turut memandang serius beberapa kes PPR yang dijual oleh DBKL dan disewakan kepada pihak ketiga.

Sejak pelaksanaan pada tahun 2000, sebanyak 80,252 unit PPR sudah siap dibina dan KPKT mengingatkan penerima bantuan perumahan Kerajaan itu supaya menggunakan kemudahan terbabit dengan sebaik mungkin.

Yusoff berkata, operasi prosedur standard (SOP) sedang dirangka bagi penyewaan dan penjualan PPR di seluruh negara dengan mengambilkira kontrak serta perjanjian jual beli PPR di negeri terbabit bagi menentukan mekanisme terbaik dalam penetapan SOP itu.

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyampaikan maklumat dan melaporkan kepada JPN sekiranya terdapat penyalahgunaan di kejiranan PPR.

Sebarang aduan boleh dikemukakan melalui http://ehome.kpkt.gov.my atau menghubungi Bahagian Pengurusan Perumahan, Jabatan Perumahan Negara di talian: 03-80008000.

87 dibaca
Berita Harian X