Isnin, 11 April 2016 | 7:52pm

Program 'Kita Juara' berkesan buat gimnas negara

Gambar fail menunjukkan aksi kumpulan gimnastik Total Gym, Malaysia ketika bertanding dalam Kategori 12-14 Tahun 'DRB-HICOM AGG Challenge Cup 2015', tahun lepas. Penglibatan atlet dalam program 'Kita Juara' terbukti berkesan selepas skuad gimnastik negara meraih pingat emas buat julung kalinya pada Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik di Ljubljana Slovenia, semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penyertaan atlet dalam program 'Kita Juara' terbukti berkesan selepas skuad gimnastik negara meraih pingat emas buat julung kalinya pada Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik di Ljubljana, Slovenia semalam.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), N Shanmugarajah berkata program itu, yang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada September lepas, menyediakan latihan intensif buat semua atlet.

"Kita tidak pernah menjangka menang pingat emas pada Siri Piala Dunia itu tetapi gimnas artistik kita menyertai kejohanan dengan persediaan yang lengkap.

"Selain itu, faktor kemenangan juga disebabkan keberkesanan program 'Kita Juara'...ia sangat bagus kerana adanya latihan intensif yang berkesan," katanya.

Beliau mengulas kemenangan pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2015 Singapura, Tan Ing Yueh yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia selepas mengungguli acara batang titian manakala pingat emas kedua disumbangkan oleh Tracie Ang dalam acara senaman lantai.

Sehari sebelum itu, Farah Ann Abdul Hadi merangkul pingat perak pertama Malaysia menerusi acara palang bertingkat pada kejohanan itu.

Kesemua anak didik ketua jurulatih Nataliya Sinkova itu menampilkan aksi mempesonakan selepas merangkul dua pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik itu.

Shanmugarajah percaya dengan adanya program 'Kita Juara' sehingga Sukan SEA 2017 bermula, skuad gimnastik artistik mampu meraih pingat emas pada kejohanan itu kelak.

Beliau juga berharap skuad gimnastik artistik negara dapat mengekalkan prestasi cemerlang itu pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Singapura Julai ini.

Program 'Kita Juara', yang mempersiapkan atlet untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, merangkumi tiga fasa bermula dari September lepas hingga bermulanya temasya dwitahunan itu pada Ogos tahun hadapan.

Fasa pertama akan mengambil tempoh setahun sehingga September ini membabitkan 800 atlet daripada 35 jenis sukan.

Fasa kedua bermula dari Oktober hingga Mac tahun depan manakala fasa terakhir bermula pada April 2017 dengan kelompok terakhir, yang bakal disenaraikan dalam kontinjen Sukan SEA negara, akan diberikan latihan seterusnya untuk meningkatkan prestasi fizikal dan mental. - BERNAMA

Berita Harian X