Isnin, 11 April 2016 | 5:26pm

Johor Mega Sales bermula 27 Mei

Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (dua dari kanan) bersama Pengarah Pelancongan Johor, Asman Shah Abd Rahman (dua dari kiri) dan Duta Grandeur Fiesta, Didie Alias (kanan) ketika sidang media Program Grandeur Fiesta sempena Mega Sale Johor 2016 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Johor akan mengadakan Johor Mega Sales secara serentak di semua daerah di negeri ini selama 10 hari bermula 27 Mei ini, dalam usaha menggiatkan sektor membeli-belah, sekali gus peluang orang ramai menikmati potongan harga serendah 70 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, berkata sempena pelancaran program itu pada 28 Mei ini, jualan tengah malam turut diadakan bermula jam 12 tengah malam hingga jam 3 pagi.

Katanya, Johor Mega Sales peringkat negeri itu yang sudah lebih 10 tahun tidak diadakan adalah sebahagian usaha kerajaan negeri memulakan usaha mempromosikan Tahun Terokai Johor 2017-2020 kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

"Kempen ini dijangka mendapat sambutan baik daripada pusat beli-belah di seluruh Johor dan bukan sahaja menarik pelancong tempatan, malah pelancong luar terutama Singapura," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Siew Kiong berkata, setakat ini pihaknya belum memuktamadkan jumlah sebenar penyertaan pusat beli-belah atau sasaran jualan tetapi berharap program itu turut membantu merancakkan ekonomi dan memberi peluang orang ramai membeli-belah dengan tawaran harga yang lebih murah.

Katanya, sempena program itu, pihaknya turut menganjurkan Grandeur Fiesta yang julung kali diadakan membabitkan festival pameran dan perdagangan bertaraf antarabangsa yang memberi fokus utama ke arah kemajuan perniagaan dalam industri makanan, fesyen, kecantikan mahupun perniagaan komersial.

Grandeur Fiesta yang diadakan mulai 27 Mei hingga 2 Jun di Padang B Angsana Mall, dekat sini, akan disertai lebih 250 peserta dalam industri terbabit termasuk artis dan selebriti tanah air.

Berita Harian X