Isnin, 11 April 2016 | 4:14pm

Pelajar murung selepas digantung persekolahan

gn4id:13017438

KOTA BHARU: Pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang terbabit pergaduhan sehingga retak pada leher kini mengalami kemurungan selepas dimaklumkan digantung persekolahan selama dua minggu.

Bapa pelajar terbabit, Dr Zulkeflee Yaacob, 50, berkata anak keduanya itu, Aiman Hazim, 15, juga tidak lalu makan, kurang bercakap selain meracau setiap kali tidur.

Katanya, selain emosi terganggu, keadaan anaknya itu amat menyedihkan apabila bahagian leher sudah membengkak selain tangan kiri kebas dan langsung tidak boleh berdiri serta berjalan.

"Dia (Aiman Hazim) amat terkejut dengan keputusan yang diambil pihak sekolah. Sepatutnya mereka beri penjelasan lanjut terlebih dahulu dalam bentuk surat sebelum mengambil tindakan terbabit.

"Disebabkan tindakan itu, emosi anak saya terganggu dan dia seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan mengenai hukuman pihak sekolah. Sehubungan itu, saya mahu penjelasan daripada pihak sekolah, adakah tepat prosedur yang mereka ambil untuk menjatuhkan hukuman penggantungan sekolah ke atas anak saya," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

BH semalam melaporkan, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa di sini, yang terbabit pergaduhan sehingga seorang daripada mereka retak tulang leher, digantung persekolahan selama dua minggu.

Pelajar Tingkatan Tiga dan Empat itu digantung persekolahan berkuat kuasa semalam bagi membolehkan polis melakukan siasatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPN), Jaafar Ismail, berkata penggantungan itu adalah prosedur biasa yang dilaksanakan dalam kes disiplin membabitkan pelajar.

Zulkeflee yang juga seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata beliau akan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi kepada pelajar Tingkatan Empat terbabit.

"Saya juga mahu berbincang dengan pihak sekolah untuk mendapatkan penjelasan mengenai hukuman yang dikenakan kepada anak saya dalam masa terdekat.

"Saya sebagai bapa sedih melihat keadaan anak seperti itu dan mahu kes ini diadili," katanya.

Sementara itu, Jaafar ketika dihubungi berkata pihak sekolah sudah memaklumkan pertemuan dengan bapa pelajar Tingkatan Tiga itu kelmarin, namun beliau gagal hadir dengan diberi alasan tidak sihat.

"Kalau boleh biarlah berlapang dada untuk mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah supaya kes ini dapat diselesaikan dengan baik. Keputusan gantung persekolahan selama dua minggu adalah prosedur biasa sementara menunggu penyiasatan selesai," katanya.

13 dibaca
Berita Harian X