Ahad, 10 April 2016 | 11:05pm

Chong Meng dijangka tiba di Kem Induk Everest


PENDAKI Lions Club tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, menunjukkan kakinya yang bengkak ketika memulakan misi pendakian ke Gunung Everest. - Foto BERNAMA

GORAKSHEP (Nepal): Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng yang menyertai misi Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016' dijangka tiba di Kem Induk Everest (EBC) yang terletak pada ketinggian 5,365 meter dari paras laut, tengah hari esok.

Lee, 68, tiba di tempat persinggahan terakhir iaitu Gorakshep sebelum ke EBC pada 1.30 tengah hari tadi (waktu tempatan Nepal) selepas bertolak dari Lobuche pada 10 pagi.

Gorakshep terletak pada ketinggian 5,140 meter dari paras laut, kira-kira tiga jam perjalanan ke EBC.

"Saya akan bermalam di Gorakshep sebelum meneruskan perjalanan ke EBC pagi esok. Laluan ke EBC agak mencabar kerana terpaksa berjalan di tepi lereng gunung tinggi dan curam serta laluan berbatu," katanya kepada Bernama yang mengikuti ekspedisi ini.

Ketika ditanya mengenai keadaan kaki kanannya yang terseliuh, Lee berkata kecederaannya bertambah pulih dan bengkak juga semakin surut.

"Kaki kanan saya semakin baik tetapi saya berjalan perlahan-lahan dan tidak memaksa untuk bergerak laju ketika mendaki," katanya.

Lee mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mendaki gunung antaranya Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal.

Beliau memulakan impian untuk menakluk Gunung Everest setinggi 8,848 meter sejak 31 Mac dan dijangka mencapai misinya dalam masa 70 hari.

Turut menyertai pasukan pendakian ialah dua sherpa profesional iaitu Ngaa Tenji, 33, dan Ang Temba, 44.

Dua pendaki Sherine Leong, 40, dan Desmond Tee, 56, turut menyertai Lee untuk ke kem bawah gunung.

Bernama selaku media rasmi ekspedisi menghantar tiga wakil iaitu wartawan Muhammad Afiq Mohd Asri, 25, jurukamera TV Bernama, Fazril Amirul, 23 dan jurufoto Zulfadhli Zulkarnain, 23. - BERNAMA

Berita Harian X