Ahad, 10 April 2016 | 5:09pm

Lebih 50 peratus pekebun kecil getah belum tuntut IPG

MUSTAPA menyampaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil getah di Pondok Moden, Jeli. - Foto Mohamed Sahidi Yusof

JELI: Lebih 50 peratus daripada 300,000 pekebun kecil getah di seluruh negara sehingga Januari lalu, belum membuat tuntutan bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG), membabitkan nilai kira-kira RM10 juta, sejak dilancarkan Oktober lalu.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Mohd Akbar Md Said, berkata berdasarkan maklum balas diterima, masalah itu berlaku berikutan mereka tidak memahami proses membuat tuntutan berkenaan.

Katanya, bayaran ke atas setiap kilogram getah itu bertujuan meringankan bebanan pekebun kecil terbabit kesan kejatuhan harga komoditi berkenaan di pasaran.

"Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM200 juta bagi bayaran IPG manakala harga pengaktifan pula di peringkat ladang ditetapkan pada paras RM2.20 sekilogram," katanya selepas taklimat bayaran IPG kepada 500 pekebun kecil getah Parlimen Jeli, di Pondok Moden, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derahsid serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di United Kingdom, Datuk Dr Kamarudin Ab Malek.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan IPG melalui dana permulaan RM100 juga bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah berikutan kejatuhan harga komoditi itu.

IPG hanya akan diaktifkan apabila paras harga getah SMR 20 FOB turun kepada RM4.60 sekilogram, manakala harga getah sekerap pada RM1.75 sekilogram dan ke bawah.

Mohd Akbar berkata, setakat ini pekebun kecil getah dari Sabah mendahului negeri lain dengan tuntutan terkumpul berjumlah RM7 juta.

"Pekebun kecil getah yang layak membuat tuntutan antara lain mesti bertaraf warganegara ini, berdaftar dengan LGM dan agensi berkaitan serta memiliki kad Permit Autoriti Pekebun Kecil Getah (PAT-G), mengisi borang tuntutan IPG dan resit jualan getah bulanan," katanya.

Beliau berkata, LGM akan mengambil daya usaha bagi memudahkan pekebun kecil getah mendapat maklumat tepat, sekali gus membolehkan mereka membuat tuntutan IPG seberapa segera.

Berita Harian X