Sabtu, 9 April 2016 | 5:04pm

Pasar Tani Kekal Permas Jaya bermula Mei


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abd Samad dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Pasar Tani Kekal Permas Jaya dan Pelancaran Karnival Muafakat Tani Johor, di Bandar Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini. - Foto Redzuan Muharam

JOHOR BAHRU: Penduduk di Permas Jaya dan berhampiran bakal menikmati kemudahan berbelanja di bawah satu bumbung menerusi projek pembinaan pasar tani kekal dekat sini, bermula Mei ini.

Projek dengan kos RM2.5 juta itu dibangunkan di tapak seluas 0.61 hektar yang dipajak sewaan dari Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk tempoh 10 tahun.

Dijangka siap pada Februari 2017, bangunan itu akan menempatkan 76 lot jualan, enam lot gerai makan dan dilengkapi kemudahan tandas, surau, medan selera serta ruang parkir.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembukaan Pasar Tani Kekal Permas Jaya bukan saja memanfaatkan usahawan, malah pelanggan boleh mendapatkan barangan keperluan di bawah satu bumbung.

Beliau berharap pasar tani kekal itu menjadikan urusan jual beli dijalankan dalam suasana selesa dan bersih.

"Langkah ini memberi jenama baharu kepada pasar tani yang asalnya hanya ruang usahawan menjual hasil produk tetapi kini boleh berdagang dengan lebih sempurna.

"Lokasi kekal ini akan memberi alternatif kepada pelanggan mendapatkan bekalan setiap hari di lokasi sama tanpa perlu tercari-cari lokasi pasar tani saban minggu atau bulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Pasar Tani Kekal Permas Jaya dan Pelancaran Karnival Muafakat Tani Johor, di Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Abd Karim; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abd Samad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), A Rahim Nin.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri berharap FAMA memperbanyakkan Pasar Tani Kekal berikutan sambutan dan permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Berita Harian X