Sabtu, 9 April 2016 | 9:00am

218 mat rempit ditahan


SEBAHAGIAN daripada 218 penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan di Bayan Lepas diarah ke Balai Polis Bayan Baru untuk pemeriksaan. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

BAYAN LEPAS: Seramai 218 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk 44 pelajar ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Bulatan Bayan Baru menghala Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 3 pagi itu, semua penunggang dan pembonceng berusia antara 15 hingga 27 tahun ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melulu, tiada lesen memandu sah serta melakukan ubah suai motosikal tanpa kebenaran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Norsalawati Saad, berkata pemeriksaan mendapati 76 pesalah adalah remaja berusia bawah 18 tahun termasuk 44 yang mengaku masih bersekolah, menyebabkan polis menghubungi ibu bapa mereka.

Katanya, semua pesalah termasuk lapan wanita diarah ke Balai Polis Bayan Baru untuk pemeriksaan lanjut dan proses dokumentasi.

"Sejumlah 186 motosikal disita kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai cukai jalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Seramai 38 pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguat Kuasa Trafik Daerah Barat Daya terbabit dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 5 pagi itu.

Berita Harian X