Jumaat, 8 April 2016 | 7:57pm

Wings of KKB kembali

PAKAR burung, KS Durai (dua dari kiri) bersama Pengarah Majlis Perancangan Pembangunan Daerah Hulu Selangor, Azlina Mokhtar (dua dari kanan), Pegawai Pelancongan Daerah Majlis Daerah Hulu Selangor, Nurul Huda Ahmad Khairuddin (kiri) dan Naib Presiden-Public dan Komunikasi di Resorts World Genting / Genting Malaysia Berhad, Katherine Chew menimbulkan untuk gambar kumpulan selepas Wings Of Kuala Kubu Bharu (KKB) pada sidang akhbar di Wisma Genting di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Pencinta flora dan fauna terutama penggemar burung berpeluang mengenali lebih daripada 250 spesies burung menerusi program Wings of KKB 2016: Selangor International Birds Race.

Pertandingan yang menyasarkan 700 hingga 1,000 peserta itu akan diadakan dari Kuala Kubu Bharu hingga Pusat Peranginan Awana Genting Highlands pada 22 hingga 24 April ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Daerah Hulu Selangor, Azlina Mokhtar, berkata ia juga bertujuan mempromosi alam sekitar selain memberi pendedahan berkenaan spesies burung dalam negara ini.

Katanya, pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sekolah, terbuka dan fotografi yang mana tiga orang diperlukan untuk setiap kumpulan.

"Kategori sekolah hanya berlangsung empat jam bagi memberi peluang mengenali spesies burung di sekitar bandar Kuala Kubu Bharu.

"Kategori terbuka dijalankan selama 24 jam dengan peserta perlu bergerak ke 10 pos pemeriksaan ditetapkan," katanya pada sidang media Program Wings of KKB 2016: Selangor International Birds Race di sini, hari ini.

Beliau berkata, pos pemeriksaan kategori terbuka akan bermula di Bandar Kuala Kubu Bharu, Taman Milenium, Kolam Air Panas Hulu Tamu, Hutan Lipur Pelajaran, Sungai Kedondong dan berakhir di Resorts World Genting.

Pertandingan menawarkan hadiah bernilai RM10,000 manakala pemenang pertandingan penulisan terbaik berpeluang mendapat penginapan di Hotel First World selama satu malam dan menonton Power Rangers di Genting Highlands.

Orang ramai boleh memuat turun borang penyertaan di wingsofkkb.blogspot.com atau hubungi Jabatan Perancang Bandar di talian 03-60641331 atau Jabatan Belia dan Kemasyarakatan di talian 03-60641155.

Berita Harian X