Jumaat, 8 April 2016 | 6:26pm

Hajat Venus Williams buru gelaran ke-50 WTA terkandas


VENUS Williams tersingkir pada pusingan ketiga kejohanan tanah liat Charleston di Carolina Selatan, hari ini. - Foto dailymail

LOS ANGELES: Pemenang tujuh gelaran Grand Slam Venus Williams perlu terus menunggu untuk melengkapkan kariernya dengan gelaran ke-50 WTA selepas tersingkir pada pusingan ketiga kejohanan tanah liat Charleston di Carolina Selatan, hari ini.

Williams yang juga pilihan ketiga, buat kali pertama mengutip kemenangan berturut-turut sejak menjulang gelaran di Taiwan pada Februari lalu, tetapi mudah digulingkan 7-6 (7/5), 2-6, 6-4 oleh pemain Kazakhstan Yulia Putintseva.

Pemain veteran Amerika Syarikat berusia 35 tahun itu menyertai pilihan kedua dari Switzerland Belinda Bencic, pilihan keempat Lucie Safarova dan pilihan keenam Andrea Petkovic ditunjukkan jalan keluar daripada saingan terbabit.

Tetapi pilihan utama Angelique Kerber yang juga juara bertahan Terbuka Australia, mara ke suku akhir selepas mudah mengatasi pemain kelayakan Kristina Kucova 6-2, 6-3.

Kerber tidak menghadapi masalah membenam 35 pukulan dan menyempurnakan tujuh daripada 10 mata penentuan, walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan berangin.

"Ia perlawanan yang sangat mencabar," katanya. "Ia sangat berangin dan ia adalah keadaan yang sama sekali berbeza berbanding sebelum ini. Saya bermain dua hari lalu dalam sesi malam dan ia berangin dan sejuk.

"Saya sangat gembira memenangi perlawanan ini kerana dia adalah lawan yang sukar dan mempunyai prestasi baik di Charleston. Saya gembira untuk kembali di sini."

Dalam satu lagi pertemuan awal, pemain Russia Elena Vesnina yang mengetepikan Bencic di pusingan kedua, turut menempah tiket ke suku akhir selepas membenam pemain Sepanyol Lourdes Dominguez 6-1, 6-3.

Vesnina seterusnya akan membuat perhitungan dengan pemain Jerman Laura Siegemund yang tidak menghadapi masalah menundukkan pemain Croatia Mirjana Lucic-Baroni 7-5, 6-2. - AFP

Berita Harian X