Jumaat, 8 April 2016 | 5:11pm
ANGGOTA bomba mendukung mangsa keluar dari kereta.

Bomba selamatkan budak terperangkap dalam kereta


ANGGOTA bomba mengumpil pintu hadapan pemandu untuk menarik pin keselamatan menggunakan pemutar skru.

KAMPAR: Seorang wanita mengalami detik cemas selepas anak bongsunya berusia setahun dua bulan terperangkap dalam kereta selama setengah jam di kediaman mereka di Persiaran Jaya 3, Taman Temoh Jaya, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, ibu kanak-kanak perempuan itu menjemur pakaian di luar rumah selepas memanaskan enjin kereta sebelum mengambil anak keduanya di pusat latihan kemahiran berdekatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Yamin Naib. berkata anggotanya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.39 pagi dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui seorang kanak-kanak terperangkap dalam kereta jenis PROTON Iswara.

"Ketika wanita itu menjemur pakaian, anaknya yang sudah pandai berjalan dipercayai memasuki kereta melalui pintu pemandu yang dibiarkan terbuka lalu mengunci dan menutup pintunya.

"Anggota bomba mengumpil pintu hadapan pemandu untuk menarik pin keselamatan menggunakan sebatang pemutar skru tanpa merosakkan atau memecahkan cermin pintu kereta berkenaan," katanya.

Katanya, mangsa dikeluarkan tidak lama kemudian.

Berita Harian X