Jumaat, 8 April 2016 | 7:02am

Perkhidmatan insurans atasi risiko bencana


MENYELESAIKAN masalah bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, bukan hak eksklusif suatu bidang ilmu sahaja. - Foto hiasan

PADA pertengahan Mac lalu, Pusat Kajian Bencana Alam Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) menganjurkan bengkel mengenai Sains untuk Mengurus Risiko Bencana di Petaling Jaya.

Objektif bengkel ini ialah untuk memahami keperluan pengetahuan Sains dan menentukan prioriti kewangan dalam pengurusan risiko bencana. Tumpuan diberikan kepada bagaimana institusi insurans boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko bencana.

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Profesor Emeritus Tan Sri Zakri Abdul Hamid, dijemput menyampaikan kertas dasar mengenai senario kefahaman Sains dan peranannya dalam pengurusan bencana alam.

Saya tertarik dengan beberapa contoh beliau berikan mengenai pengetahuan kepelbagaian biologi memberi manfaat besar kepada manusia. Antaranya, manusia pasti tidak dapat menikmati keenakan durian sekiranya semua spesies kelawar pupus. Bayangkan ketika manusia nyenyak tidur, kelawar sibuk keluar malam mendebungakan pokok durian.

Pengetahuan sains

Menyelesaikan masalah bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, bukan hak eksklusif suatu bidang ilmu sahaja. Pada peringkat huluan, kita memerlukan pengetahuan Sains Bumi, khususnya memahami fenomena dan faktor penyebab bencana.

Dalam peringkat pertengahan, terutama berkaitan adaptasi dan mitigasi, ilmu berkaitan Teknologi dan Kejuruteraan diperlukan. Sementara, aspek hiliran dan pengurangan risiko, pelbagai bidang ilmu lain seperti pengetahuan berkaitan perancangan, pengurusan, sains sosial dan kewangan penting digembleng bersama.

Perbincangan bengkel tertumpu kepada peranan pihak swasta, terutama dalam aspek perkhidmatan insurans bencana. Ini adalah satu tindakan proaktif, khusus dalam konteks pengurungan risiko bencana. Usaha sama diamalkan negara maju yang berdepan bencana alam tabii besar seperti Jepun dan Amerika Syarikat.

Perkhidmatan insurans sangat penting dalam proses pembinaan semula, khususnya bencana alam yang mengakibatkan kerosakan atau kemusnahan harta benda, perniagaan dan sumber pendapatan. Ini adalah amalan sihat perkongsian risiko antara mangsa, kerajaan dan pihak swasta.

Jika perkhidmatan insurans mahu dilaksanakan di Malaysia, kita perlu memahami senario bencana yang melanda negara sejak beberapa dekad terakhir. Daripada perspektif global, Malaysia boleh dikategorikan sebagai negara yang dilanda bencana alam berisiko rendah. Kita jarang terbabit secara terus dengan bencana letusan gunung berapi, gempa bumi, tsunami dan taufan (siklon tropikal).

Bencana alam paling kerap melanda Malaysia ialah banjir besar (sungai), gelinciran tanah dan hakisan pantai. Jika dilihat statistik bencana yang mengorbankan nyawa, kebanyakan disebabkan tanah runtuh sepanjang lebuh raya dan kawasan pesat membangun.

Cetusan manusia

Situasi di Malaysia berbeza dengan di negara yang berdepan bencana alam besar seperti Indonesia, Filipina dan Jepun. Kita berdepan bencana alam cetusan manusia, bukan bencana alam tabii. Bagi bencana alam tabii seperti banjir besar dan gelinciran tanah, fenomena ini di luar jangkaan manusia. Curahan hujan luar biasa kuantitinya menyebabkan alur sungai tidak dapat menampung air larian, berlaku limpahan di dataran banjir.

Dasar Insurans Bencana Alam perlu membezakan dua penyebab utama ini iaitu proses alam dan bencana cetusan manusia. Kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana alam tabii, sekiranya dirancang atau sudah dibangunkan untuk pertanian, perindustrian dan penempatan, kerajaan atau pihak berkepentingan perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan awam.

Insurans Bencana Alam boleh diperkenalkan dan ia perlu disediakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keupayaan membangun semula disegerakan dan risiko terhadap komuniti setempat dikurangkan.

Bagaimanapun, apabila berdepan bencana cetusan manusia, pihak pemaju atau individu pemilik harta perlu mengambil tanggungjawab. Amalan mengenali risiko bencana perlu dibudayakan di peringkat awal pembangunan. Justeru, mereka sepatutnya mempunyai pilihan untuk mengambil risiko atau tidak ketika membeli rumah kediaman. Jika merasakan perlu, mereka seharusnya membeli insurans bagi berkongsi kerugian sekiranya berdepan bencana.

Penulis ialah Pengerusi Pusat Bencana Alam Asia Tenggara (SEADPRI-UKM), dan Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN)

Berita Harian X