Jumaat, 8 April 2016 | 12:08am
SHIHA memilih mempertaruhkan bakat sendiri berbanding mengejar publisiti murahan untuk popular. - Foto Adi Safri
MEMILIKI pakej dianggap lengkap untuk meletakkan namanya sebaris penyanyi popular tanah air, namun Shiha Zikir akui setakat ini rezeki kurang memihak kepadanya. - Foto Saifullizan Tamadi
SHIHA Zikir yakin dengan bakat yang dimiliki. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
SHIHA Zikir enggan mengejar publisiti murahan semata-mata mahu popular. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
PELUANG menyertai program di Indonesia, membantu Shiha Zikir, membina namanya dalam kalangan peminat di negara jiran itu. - Foto Halimaton Saadiah

Shiha mahu popular tanpa kontroversi


BIARPUN memiliki pakej dikira lengkap untuk meletakkan namanya sebaris penyanyi popular tanah air, namun Shiha Zikir mengakui rezeki kurang memihak kepadanya.

Namun, artis yang dilahirkan dengan nama Nurshiha Mohd Zikir ini, enggan menggunakan publisiti murahan sebagai strategi menempa nama dalam bidang seni, walaupun ada pihak yang beberapa kali menyarankan idea terbabit kepadanya sebelum ini.

"Saya tahu rezeki dalam bidang seni belum terbuka luas. Saya tidak ralat kerana inilah jalan yang dipilih dan akan terus berjuang tanpa lelah. Mungkin belum sampai masa lagi, tetapi saya pasti ia akan tiba juga nanti.


PENYANYI, Nurshiha Mohd Zikir atau di kenali Shiha Zikir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Tidak semua artis berjaya mencipta nama dalam tempoh singkat. Sebahagiannya melalui pelbagai cabaran untuk berada pada tahap sekarang. Biarlah terpaksa menanti sehingga 10 tahun sekali pun, jika ada rezeki saya, pasti ada jalannya.

"Saya tidak mahu publisiti murahan hanya untuk popular. Biarpun ada yang menyuntik idea itu, namun saya memilih mempertaruhkan bakat yang ada. Lagipun populariti berlandaskan kontroversi tidak bertahan lama," kata penyanyi berusia 28 tahun ini kepada BH.

Tekad memperjuangkan bakat yang dimilikinya dalam bidang nyanyian, Shiha memartabatkan genre dangdut dan irama Malaysia di Jakarta, Indonesia bermula pada 12 November tahun lalu dengan menyertai program D'Academy Asia.

Meskipun penerimaan khalayak di Indonesia terhadap bekas peserta program Mentor musim kelima itu agak baik, namun Shiha enggan terus selesa dalam zon selamat dan masih berusaha mencari ruang memperbaiki diri sebagai penyanyi.

Namun, Shiha cuba membuktikan segala-galanya bukan semata-mata kerana siapa juara, siapa tewas. Sedari awal, sasarannya cuma satu, iaitu mahu mencari platform dalam suasana baharu di tempat orang.


SHIHA tekad memperjuangkan bakat yang dimilikinya dalam bidang nyanyian. - Foto Faiz Anuar

"Alhamdulillah, pintu rezeki lebih terbuka luas selepas menyertai program berkenaan. Bukan mudah untuk menembusi pasaran muzik di Indonesia, apatah lagi diberi peluang menyanyi secara langsung di hadapan penonton di sana

"Saya percaya inilah platform terbaik memperkenalkan Malaysia kepada negara luar. Peminat dari Indonesia juga semakin bertambah dan sokongan yang diberikan tidak pernah putus.

"Ia seperti memberi semangat baharu buat saya kerana dapat membuka mata masyarakat terhadap bakat yang dimiliki dalam bidang nyanyian. Diharapkan, peluang saya di Malaysia juga akan terus menyinar," kata bekas protege kepada Allahyarham Datuk Sharifah Aini itu.

Selain Shiha, program kelolaan negara seberang itu turut menampilkan lima wakil dari Malaysia iaitu Mimi One Nation Emcees, Hazman, Fitri Hiswady dan Syuhada.

Antara juri yang terbabit mengadili rancangan pertandingan berkenaan ialah Hendro Saky dari Indonesia, Mayuni (Singapura), DJ Daffy dan Hans Anwar (Brunei Darussalam) serta Pak Ngah dan Zulkifli Majid (Zul 2 By 2) dari Malaysia.

46 dibaca
Berita Harian X