Khamis, 7 April 2016 | 9:14pm

Nazim buang imej K-pop sebab sudah matang

NAZIM atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Tidak lama dulu, pelakon ini memang dikenali dengan penampilan ala bintang K-pop. Daripada gaya rambut sehinggalah kepada pakaiannya, semuanya memang menyerlahkan unsur popular dari negara berkenaan.

Lebih daripada itu, beliau yang berkebolehan dalam nyanyian turut berhasrat melahirkan single berjudul Destinasi berkonsepkan muzik pop Korea. Bagaimanapun, sehingga kini lagu terbabit tidak dilancarkan.

Namun, peminat masih boleh melihat sejauh mana kemampuannya di bidang seni suara apabila artis berusia 32 tahun ini bersaing dalam program Gempak Superstar, mulai 10 April.

Kini tampil dengan imej lebih kemas dan matang, Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman berkata, dirinya juga bukan muda lagi untuk terus mengenakan imej sedemikian.

"Saya lebih matang sekarang. Jadi, saya rasa muzik K-pop mahupun gaya seperti itu tidak lagi sesuai lagi dengan saya," katanya kepada BH Online.

Ketika imej terbabit sudah dibuang, minat Nazim dalam muzik sebenarnya masih kuat. Malah, tunang kepada pelakon, Bella Daly, ini merancang untuk muncul bersama sebuah single berkonsepkan balada yang diberi judul Cerita Kita.

"Sudah lama saya merakamkan lagu berkenaan, tetapi insya-Allah saya berhasrat untuk memasukkan vokal terkini di dalamnya. Kalau semuanya mengikut perancangan, saya mungkin melancarkan lagu terbabit selepas pembabitan dalam program Gempak Superstar," katanya.

Dalam pertandingan itu, Nazim bersaing dengan sembilan pelakon lain iaitu Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin, Arja Lee, Izreen Azminda, Tasha Shilla, Raja Ilya, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Berita Harian X