Khamis, 7 April 2016 | 7:00pm

ANGKASA kaji pasang panel solar di 100 sekolah


PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berucap merasmikan seminar dan dialog peluang-peluang perniagaan hartanah Koperasi Kelantan, di Sudara Beach Resort, Bachok. - Foto Fathil Asri

BACHOK: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sedang membuat kajian untuk memasang panel solar di 100 sekolah di seluruh negara tahun ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata cadangan itu sudah mendapat sokongan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang meminta kementerian berkenaan membuat kajian lanjut.

"Panel solar ini akan dipasang di garaj tempat letak kereta untuk membekalkan tenaga elektrik dan diuruskan oleh koperasi sekolah.

"ANGKASA sudah berbincang dan mengemukakan cadangan untuk memasang panel solar untuk membekal tenaga elektrik di 100 sekolah di seluruh negara mulai tahun ini.

"Projek itu juga sebahagian sektor perniagaan baharu yang akan diterokai koperasi di bawah ANGKASA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar dan dialog peluang perniagaan hartanah koperasi, di Sudara Beach Resort, di sini, tadi.

Turut hadir, Naib Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin; Pengerusi ANGKASA Kelantan, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa; dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kelantan, Wan Muhammad Sabri Wan Harun.

Abdul Fattah berkata, ANGKASA meminta kerajaan memberi kuota khas kepada koperasi untuk membekalkan tenaga elektrik menerusi sistem panel solar.

Katanya, ANGKASA mahu koperasi turut menyertai industri tenaga sebagai pembekal tenaga bebas (IPP) di negara ini.

Beliau berkata, ANGKASA sudah menyatakan hasrat itu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk pakej membekalkan 30 megawatt hingga 50 megawatt.

"Pada dasarnya ANGKASA sudah berbincang dengan kementerian berkenaan bagi tujuan itu. Kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan untuk koperasi menjadi IPP seperti syarikat swasta lain.

"Jika pakej 30 megawatt hingga 50 megawatt memerlukan kos sehingga RM200 juta, ANGKASA sedia melabur dan akan mewujudkan ladang solar," katanya.

Katanya, di beberapa negara Eropah termasuk Turki dan Jerman, kerajaan mereka memberi kepada koperasi sebagai antara badan pembekal tenaga, sekali gus mengukuhkan sumber ekonomi koperasi.

13 dibaca
Berita Harian X