Khamis, 7 April 2016 | 10:57am

Kemunculan awal Galaxy S7 lonjak jualan Samsung

SEOUL: Samsung Electronics Co mencatat keuntungan suku pertama lebih baik daripada jangkaan susulan pengenalan lebih awal telefon pintar Galaxy S7 memberinya kelebihan berbanding Apple Inc dan pesaing dari China.

Pendapatan operasi menokok kepada 6.6 trilion won (AS$5.7 bilion) pada suku pertama berakhir 31 Mac 2016, kata pengeluar telefon dan cip memori terbesar dunia itu.

Ini lebih baik daripada anggaran purata penganalisis dikumpul Bloomberg sebanyak 5.53 trilion won.

Pengenalan awal Galaxy S7 dibuat pada Mac, kira-kira sebulan lebih awal berbanding pengenalan model sebelumnya tahun lalu, dengan jualan Galaxy S7 dianggarkan mencecah sembilan juta unit pada bulan pertama, tiga kali ganda berbanding model Galaxy S6 untuk tempoh sama.


PELANGGAN ketika membeli-belah di premis jualan Samsung di New Delhi. - Foto Reuters

Pengenalan pemapar lengkung bagi versi Edge juga mendapat sambutan lebih baik kali ini.

"Sebab utama peningkatan ketara keuntungan adalah disebabkan kepada perbelanjaan pemasaran lebih rendah bagi perniagaan mudah alih," kata Yoo Eui Hyung, penganalisis di Dongbu Securities Co di Seoul.

"Pengenalan lebih awal model terbaharu itu membantu, tetapi terdapat kesangsian sama ada Galaxy S7 dapat terus mengejutkan pasaran dalam jangka panjang."

Saham Samsung naik 0.6 peratus kepada 1,293,000 won pada 9.02 pagi tadi waktu Seoul, melanjutkan kenaikan tahun ini kepada 2.6 peratus.

Sahamnya jatuh untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2015.

Jualan pada suku dikaji berjumlah 49 trilion won, berbanding 48.8 trilion won yang dianggarkan penganalisis.

Kebanyakan pendapatan Samsung disumbang segmen telefon, yang mana ia bersaing dengan Huawei Technologies Co dan Xiaomi Corp dari China.

Keuntungan operasi segmen mudah alih dijangka menokok 19 peratus kepada 3.25 trilion won pada suku dikaji, demikian menurut anggaran penengah enam penganalisis yang diselidik Bloomberg News. - Bloomberg

Berita Harian X