Selasa, 28 Oktober 2014 | 1:50pm

Malaysia laksana program Biodiesel B7 bulan depan


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi , Datuk Amar Douglas Uggah Embas mendengar penerangan minyak masak kelapa sawit daripada Pengerusi Malaysian Palm Oil Council (MPOC) , Datuk Lee Yeow Chor (kiri) ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan Malaysia Plam Oil Trade Fair and Seminar 2014. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Malaysia, pengeluar minyak sawit terbesar selepas Indonesia, akan melaksanakan program Biodiesel B7 untuk sektor bersubsidi bulan depan.

Ini akan membantu meningkatkan penggunaan biodiesel domestik berasaskan sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, berkata pelaksanaan itu akan bermula berperingkat-peringkat mulai November di Semenanjung manakala Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada Disember.

Katanya, Kabinet telah meluluskan pelaksanaan program B7 itu pada 17 Oktober lepas.

"Program B7 dijangka menyaksikan penggunaan 575,000 tan metrik biodiesel. Ini akan menyumbang kepada penjimatan 667.6 juta liter diesel setahun," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Uggah berkata demikian selepas merasmikan Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Antarabangsa (POTS) 2014 anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, langkah melaksana program B7 akan meletakkan Malaysia setanding negara maju lain dalam penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.

"Negara Kesatuan Eropah telah melaksana B7 sejak 2009 dan Thailand mulai Januari tahun ini. Indonesia menggunakan B7.5 mulai Februari 2012 dan Colombia, biodiesel berasaskan sawit B8 dan B10," katanya.

Beliau berkata, sebagai persediaan melaksanakan program B7 itu, kerajaan telah menjalankan beberapa pertemuan dengan pihak berkepentingan, termasuk Persatuan Pengeluar Automobil Jepun serta syarikat petroleum.

"Berdasarkan perundingan itu, tidak ada isu penting terbabit dalam pelaksanaan program B7," katanya.

Katanya, pelaksanaan program itu menunjukkan usaha kerajaan mempelbagaikan penggunaan minyak sawit mentah, seterusnya mengurangkan kebergantungan ke atas diesel petroleum di samping pelepasan gas rumah hijau melalui sumber tenaga mesra alam sekitar.

- BERNAMA

Berita Harian X