Rabu, 6 April 2016 | 10:54pm

Perlis minta pembenihan awan


MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis meminta Kerajaan Pusat melakukan pembenihan awan di negeri ini segera berikutan paras air Empangan Timah Tasoh berada pada paras kritikal 26.40 meter hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata paras air empangan itu semalam pada 26.42 meter, menunjukkan air susut agak cepat dengan paras kritikal 26.50 meter.

"Pembenihan awan adalah langkah terbaik bagi meningkatkan paras air akibat kemarau yang melanda," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Perlis, Abdul Najib Abdullah, berkata pembenihan awam adalah pilihan terbaik buat masa ini.

"Jika kemarau berlanjutan, air dalam Empangan Timah Tasoh dijangka mampu bertahan selama sebulan sahaja lagi. Sebelum itu air mungkin terpaksa dicatu," katanya.

Semalam Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, berkata enam empangan di empat buah negeri termasuk Empangan Timah Tasoh mencatatkan bacaan penurunan paras air sehingga 30 peratus. - BERNAMA

Berita Harian X