Rabu, 6 April 2016 | 12:30pm

PRN Sarawak: 2 lagi calon langsung BN dijangka diumum


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dijangka mengumumkan dua lagi calon langsung Barisan Nasional (BN), masing-masing di kerusi baharu, Serembu dan Bukit Semuja pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, petang ini.

Adenan yang juga Pengerusi BN negeri mengambil keputusan memilih calon langsung BN selepas timbul perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara parti komponen dan serpihannya menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) tidak lama lagi.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen lain BN Sarawak ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Dua parti serpihan pula ialah Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

BN Sarawak setakat ini sudah mengumumkan 40 daripada 82 calon yang akan bertanding pada PRN kali ini, membabitkan 26 dari PBB termasuk bagi dua kerusi baharu, Stakan dan Gedong, manakala 11 lagi dari PRS.

Baki membabitkan tiga calon langsung BN, masing-masing dua dari UPP dan seorang lagi dari TERAS.

Berita Harian X