Rabu, 6 April 2016 | 12:03pm

3 pengawal keselamatan ditahan miliki MyKad palsu

PUTRAJAYA: Tiga pengawal keselamatan di sebuah taman perumahan di Temasya Glenmarie, Shah Alam, Selangor ditahan tengah malam tadi kerana disyaki menggunakan MyKad palsu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Seri Sulaiman Keling, berkata semua lelaki berusia 23 hingga 38 tahun itu ditahan dalam 'Ops ID' oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN di taman perumahan berkenaan, jam 10.30 malam tadi.

Sulaiman berkata, tujuh pegawai penguat kuasa JPN membuat pemeriksaan di pos pengawal taman perumahan terbabit dan mendapati mereka menggunakan kad pengenalan disyaki palsu untuk bekerja di situ.

Semasa pemeriksaan, katanya, dua pengawal keselamatan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan dan mereka kemudian mendakwa berasal dari Sabah.

"Bagaimanapun, siasatan mendapati kad pengenalan digunakan adalah palsu yang diperoleh menerusi sindiket di Keningau, Sabah dengan bayaran RM800 setiap kad. Siasatan lanjut mendapati mereka sebenarnya berasal dari Basilan, Filipina.

"Mereka kemudian dibawa ke ibu pejabat JPN di sini untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berita Harian X