Selasa, 5 April 2016 | 3:08pm

Tiada catuan air, paras 6 empangan kritikal


Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

PUTRAJAYA: Tiada catuan air dilaksanakan meskipun paras air di enam empangan dilaporkan kritikal ekoran musim panas yang berpanjangan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Beliau berkata enam empangan yang merekodkan paras air kritikal antara 20.14 peratus dan 33.9 peratus sehingga akhir Mac lepas ialah Timah Tasoh di Perlis; Lebam dan Layang di Johor; Milau dan Babagon di Sabah serta Gemencheh, Negeri Sembilan.

Katanya kementerian itu dan Kementerian Sumber Asli telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau paras air dan jumlah air diproses untuk kegunaan rakyat.

"Setakat ini tiada keperluan untuk melakukan catuan air di mana-mana kawasan di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa 2016 di sini, hari ini.

Mengenai pembinaan empangan Langat 2, Ongkili berkata buat masa ini projek itu sudah 60 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada 2019. - BERNAMA

Berita Harian X