Selasa, 5 April 2016 | 12:53pm

Nana kembali bersenam demi punggung cantik


BEKAS peserta Akademi Fantasia, Nana Mahazan. - Foto ihsan Instagram Nana Mahazan

KUALA LUMPUR: Walaupun dirinya termasuk dalam kategori artis bertubuh langsing, namun ia tidak menghalang Nana Mahazan untuk sama-sama bersenam di gimnasium.

Bekas peserta Akademi Fantasia ini malah sudah mula ketagih aktiviti yang ditinggalkannya sekian lama itu sejak Februari lalu.

Nana memberitahu, selain ingin mendapatkan perut berotot (six pack), beliau juga kembali bersenam kerana mengidamkan bentuk punggung yang cantik.

"Alhamdulillah, setakat ini juga saya lihat perkembangan cukup positif. Punggung pun 'naik' sikit. Kalau tidak, bahagian terbabit macam rata saja.

"Ternyata senaman, sama ada menggunakan beban atau tidak, dapat membantu mendapatkan punggung yang cantik. Contohnya seperti melakukan 'squat'," katanya.

Kata pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan, beliau melakukan aktiviti itu bukan atas paksaan sesiapa atau dengan niat ingin menunjuk-nunjuk, sebaliknya lebih kepada kepuasan diri.

"Tidak sekadar bersemangat melakukan senaman, saya juga kini memilih untuk mengamalkan pemakanan sihat seperti suami (Mohamed Raqeem Brian Abdullah). Perubahan saya ke arah gaya hidup sihat juga turut disokong beliau.

"Bagaimanapun dengan saiz badan sekarang, jurulatih kecergasan cakap saya tidak perlu terlalu mengawal makan. Saya boleh terus makan apa yang disukai, seperti nasi lemak contohnya. Begitupun, saya kena juga mengawalnya. Kini juga saya sedang membiasakan meminum protein. Ia dapat membantu saya membina otot," katanya.

Selain menggunakan khidmat jurulatih kecergasan untuk tempoh dua bulan, beliau juga bersenam di pusat gimnasium khusus untuk wanita di Damansara. Di samping itu, akuinya, beliau juga melakukan senaman sendiri di rumah menerusi panduan bersenam di YouTube.

"Malah kebelakangan ini juga, saya mengikut suami memanjat bukit untuk meningkatkan stamina," katanya.

215 dibaca
Berita Harian X