Selasa, 5 April 2016 | 12:03pm

El-Nino: 6 empangan dipantau


MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PUTRAJAYA: Enam empangan di empat negeri dalam pemantauan jawatankuasa khas yang dibentuk kerajaan susulan musim panas berpanjangan ketika ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata enam empangan terbabit adalah Timah Tasoh, Perlis; Gemencheh, Negeri Sembilan; Lebam dan Layang, Johor serta Milau dan Babagon, Sabah.

Beliau berkata, kementeriannya bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar membentuk jawatankuasa khas terbabit bagi memantau paras air di empangan seluruh negara.

"Status simpanan air mentah di enam empangan yang kini dalam pemerhatian berada pada paras 30 peratus ke bawah, namun setakat ini tiada catuan air dilakukan di kawasan berkenaan," katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Antarabangsa ke-3 Tenaga Mampan (ISES) 2016, di sini hari ini.

Mengenai Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2), beliau berkata, ia kini sudah mencapai 60 peratus pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2019.

Berita Harian X