Isnin, 4 April 2016 | 4:09pm

Peniaga wajar kitar semula minyak masak terpakai


Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin menuang sisa minyak masak ke dalam mesin kitar semula sambil diperhatikan ahli majlis dan peniaga. - Foto ihsan MPK

KLANG: Minyak masak terpakai mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak wajar dibazirkan, sebaliknya dimanfaatkan melalui kaedah kitar semula.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata pembuangan sisa minyak masak akan mengundang pencemaran alam sekitar khususnya kepada sumber air.

Beliau berkata, pembuangan sisa minyak ke dalam sistem perparitan dan longkang akan menyebabkan saluran air tersumbat, selain mengundang pelbagai penyakit bawaan.

"Justeru, MPK mengambil inisiatif berkongsi pengetahuan mengenai cara mengitar semula dan cara pelupusan minyak yang betul serta mesra kepada alam sekitar.

"Dua syarikat dilantik untuk mengadakan program pengumpulan minyak masak terpakai daripada peniaga restoran, pasar malam, gerai MPK dan kantin sekolah sekitar bandar Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi kerjasama berkenaan, peniaga diharap faham cara mengitar semula sisa minyak masak dan secara tidak langsung alam sekitar dapat dipelihara.

Berita Harian X