Isnin, 4 April 2016 | 4:04pm

Perak tuan rumah pertama Program Silang Budaya


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (kanan) tertarik dengan patung wayang kulit yang dipamerkan selepas merasmikan Program Silang Budaya di Muzium Darul Ridzuan hari ini. Turut hadir Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim (dua dari kiri). - Foto BERNAMA

IPOH: Perak menjadi tuan rumah bagi Program Silang Budaya pertama membabitkan lima negeri yang akan berlangsung selama sebulan bermula 1 sehingga 30 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata program berkonsepkan pameran bergerak itu membabitkan kerjasama Muzium di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Jabatan Muzium Malaysia dalam mempamer kekayaan seni tradisi negeri masing-masing.

Katanya, program bertujuan menjalin hubungan dua hala di antara Muzium Negeri dan Jabatan Muzium Malaysia yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia.

"Program akan berlangsung selama sebulan di negeri ini dan kemudian diteruskan dengan sesi jelajah ke lima lagi muzium dalam negara.

"Sesi jelajah di setiap negeri akan dipenuhi pelbagai pengisian mantap seperti pameran seni dan budaya, bengkel, explorace, melakar lukisan, persembahan tarian tradisional serta pameran seni tari unik Cempuling, Dabus, Gambus, Zapin Melayu, Ghazal Party dan Wayang Kulit Seri Asun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Silang Budaya di Muzium Darul Ridzuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim.

Nolee Ashilin berkata, hasil penggabungan itu sekali gus dapat mewujudkan kerjasama erat dan berkesan dalam menjalankan usaha pemeliharaan, pendokumentasian serta penghebahan maklumat sejarah, warisan dan budaya secara berterusan di negeri berkenaan.

"Melalui program sebegini peranan muzium sebagai pemilik warisan bangsa dapat diperkukuhkan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, program itu bersesuaian dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Perak pada tahun depan dan pihaknya menyasarkan lebih 5,000 pengunjung hadir pada setiap sesi jelajah berlangsung di negeri ini.

Berita Harian X