Ahad, 3 April 2016 | 9:31am

5 ditahan dalam operasi kenderaan perdagangan


ANGGOTA polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Kilometer 225 Lebuhraya Utara Selatan, Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang, arah selatan di Taiping, malam tadi. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TAIPING: Lima lelaki ditahan kerana disyaki positif dadah dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Kilometer 225 Lebuhraya Utara Selatan, Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang, arah selatan di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata empat pemandu lori dan seorang penunggang motosikal yang berumur lingkungan 30-an itu ditahan dalam operasi tiga jam bermula 9 malam.

Katanya, polis turut menemui satu alat menghisap dadah dalam sebuah daripada lori yang ditahan itu.

"Kita akan serahkan lima lelaki ini kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas operasi.

Operasi disertai 67 anggota termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), AADK dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wan Jamil berkata sebanyak 50 kenderaan perdagangan seperti lori dan bas diperiksa dengan 31 saman dikeluarkan JPJ dan 21 saman oleh polis atas pelbagai kesalahan.

Sehubungan itu, Wan Jamil berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras pemandu di bawah pengaruh dadah kerana ia membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

"Dalam operasi akan datang saya akan panggil Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen," katanya. - BERNAMA

15 dibaca
Berita Harian X