Ahad, 3 April 2016 | 7:58am

Kane penyelamat Spurs

PEMAIN Tottenham Hotspur, Harry Kane meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Liverpool di Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. - Foto Reuters

LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Leicester mampu melonjak perbezaan tujuh mata terhadap pesaing terdekatnya selepas Tottenham Hotspur hanya seri 1-1 dengan Liverpool.

Dalam perlawanan malam tadi, Harry Kane menjadi penyelamat Spurs apabila jaringannya pada minit ke-63 memadam gol pembukaan tuan rumah, Philippe Coutinho, sekali gus menyaksikan Spurs kini empat mata di bawah Leicester yang berdepan Southampton, hari ini.

Arsenal dan Manchester City terlebih dahulu mencatat kemenangan untuk membuka kembali peluang merebut kejuaraan liga. Arsenal menang 4-0 ke atas Watford manakala City juga membenam Bournemouth 4-0.

"Perasaan selepas perlawanan ini ialah kami hilang dua mata," kata Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.

"Saya gembira dan teruja dengan permainan kami. Leicester tentunya berdepan dengan perlawanan kental menentang Southampton nanti," katanya.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Liverpool menceriakan Anfield dengan jaringan Coutinho pada minit ke-51.

Namun, bola hantaran volley Son Heung-Min pantas disambar Christian Eriksen sebelum melorongkannya kepada Kane untuk menewaskan pertahanan Dejan Lovren dan merembat masuk untuk jaringan ke-22 miliknya musim ini.

Berita Harian X