Ahad, 3 April 2016 | 7:22am

Gol Ronaldo padam rekod tanpa kalah Barcelona


PEMAIN Real Madrid, Cristiano Ronaldo membuat jaringan pada perlawanan menentang Barcelona di Stadium Camp Nou, Barcelona, awal pagi tadi. - Foto Reuters

BARCELONA: Penyerang berbisa Portugal, Cristiano Ronaldo menjadi hero kebangkitan Real Madrid apabila meledak gol kemenangan 2-1 sekali gus menamatkan rekod 39 perlawanan tanpa kalah Barcelona di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi.

Kemenangan itu lebih bermakna lagi apabila Real yang bertandang di tempat lawan merampas tiga mata penuh meskipun bermain dengan 10 pemain dalam pertembungan dua musuh tradisi ketat itu.

Tuan rumah terlebih dahulu meraikan gol awal menerusi tandukan Gerard Pique pada minit ke-56 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Namun, Real pantas mendapatkan gol penyamaan menerusi Karim Benzema pada minit ke-62.

Selepas kapten Madrid, Sergio Ramos dilayang kad merah kali ke-21 dalam kerjaya bola sepaknya pada minit ke-83, tiba ledakan gol kemenangan Ronaldo menerjah jaring, kira-kira lima minit sebelum permainan tamat.

"Menang di sini satu harga yang amat mahal kepada semua pemain kerana mereka memberi sepenuh keringat," kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.

Ia juga saat bermakna buat Zidane kerana ia kemenangan sulungnya ke atas Barca sejak mengendalikan Real. - AFP

Berita Harian X