Ahad, 3 April 2016 | 12:30am

Penyewa PPR kaut untung atas angin

KUALA LUMPUR: Segelintir penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) mengaut keuntungan atas angin dengan menyewakan semula kemudahan yang disediakan kerajaan itu kepada pihak ketiga, termasuk warga asing.

Siasatan BH mendapati penyewa unit di PPR Pudu Ulu misalnya menyewakan bilik pada kadar RM200 sebulan mengikut saiz manakala sebuah rumah antara RM700 hingga RM800.

Dengan kadar sewa itu, penyewa asal terbabit boleh mengaut keuntungan mudah setiap bulan kerana mereka hanya perlu membayar kepada kerajaan sebanyak RM124 sebulan.


PEGAWAI Imigresen memeriksa dokumen warga asing ketika Ops Sejahtera Komuniti di PPR Pudu Ulu. - Foto Yazit Razali

Seorang penduduk tempatan di PPR itu mengakui sering berselisih dengan warga asing yang turun naik dari blok-blok rumah pangsa berkenaan.  

"Penyewa rakyat asing ini mungkin menyewa di unit-unit di tingkat atas. Kami tak tahu mereka di unit mana.

"Selalunya mereka keluar pagi dan hanya pulang di waktu malam kerana bekerja di pasar raya atau kilang di sekitar sini," katanya yang enggan dikenali.

BH berjaya mengesan beberapa rakyat asing yang bekerja di sebuah kedai runcit di situ, dipercayai berasal dari Myanmar berdasarkan bahasa yang dituturkan yang mengakui tinggal di PPR berkenaan.


WARGA asing bekerja di kedai runcit mengaku tinggal di PPR Pudu Ulu. - Foto Rosela Ismail

Sebuah lagi kedai pula menggajikan pekerja Indonesia sebagai pembantu yang mengakui menyewa di salah sebuah unit PPR terbabit.

Bagaimanapun, warga asing terbabit seolah-olah diberi arahan "kunci mulut" apabila lebih banyak soalan ditanya oleh wartawan. 

Keadaan di sekitar kawasan PPR itu juga lengang semalam dipercayai berikutan operasi menggempur penyewa ketiga oleh Jabatan Perumahan Negara pada pagi Sabtu.

Senario yang hampir serupa berlaku di kawasan PPR Sri Sabah di Cheras.

Seorang peniaga di PPR itu berkata, kawasan perumahan itu satu ketika dahulu dipenuhi warga asing yang berkeliaran, termasuk pendatang daripada Vietnam dan Myanmar.

"Tapi sekarang sudah tak ramai, mungkin sejak operasi yang giat dijalankan, mereka tak berani lagi tinggal di kawasan sekitar sini.

"Pemilik (penyewa asal) rumah pun tak ramai yang mahu sewakan kepada mereka kerana lebih selesa menyewakan unit kepada rakyat tempatan," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Man.    


KETUA Pengarah Jabatan Perumahan Negara (KPK), Datuk Mohamad Yusoff Ghazali (dua dari kanan) bersama pegawai DBKL membuat pemeriksaan ketika Ops Sejahtera Komuniti di PPR Jln Pudu Ulu. Turut serta Pengarah Jabatan Perumahan & Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohd Ghazali (dua kiri). - Foto Yazit Razali

Terdahulu Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff, selepas melancarkan Pelaksanaan Program Penguatkuasaan Ops Sejahtera Komuniti di situ berkata, pihaknya mengesan ramai pemilik unit PPR menyewakan premis mereka kepada pihak ketiga termasuk warga asing.

Beliau berkata, jabatan sedang mengesan penyewa terbabit untuk dikenakan tindakan tegas, termasuk menarik balik unit itu serta-merta.

Rumah PPR disewakan akan ditarik balik

Sementara itu, Ketua Pengarah Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali, berkata Jabatan Perumahan Negara mengesan sebanyak 198 unit rumah PPR di ibu negara disewakan kepada pihak ketiga, termasuk warga asing.

Katanya jumlah itu dikesan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penyewa asal sedang dikesan untuk dikenakan tindakan termasuk menarik balik kediaman berkenaan.

Katanya, pihaknya akan mengeluarkan Notis Amaran dan Notis Penamatan serta merta kepada mereka.


SESETENGAH unit di PPR Pudu Ulu antara kediaman yang disewakan kepada pihak ketiga termasuk warga asing. - Foto Rosela Ismail

"Jabatan memandang serius isu itu dan sedang mengesan penyewa terbabit menerusi program penguatkuasaan `Ops Sejahtera Komuniti' untuk dikenakan tindakan," katanya kepada media, di Pusat Belia Bandaraya, Cheras, di sini, Sabtu.

Mohamad Yusoff berkata, operasi yang dijalankan semalam disertai 96 anggota penguat kuasa pelbagai jabatan dan agensi masing-masing seramai 30 orang dari jabatan itu dan DBKL, Jabatan Imigresen dan polis masing-masing 15 orang dan Jabatan Pendaftaran Negara (enam orang).

Katanya, ia adalah operasi kedua tahun ini selepas di PPR Segindai, Kinarut, Papar (Sabah) pada 5 Mac lalu dan disusuli di Selangor, Johor dan Sarawak.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan dan pemantauan unit kediaman PPR di seluruh negara diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Januari 2016.


PEJABAT Kecil PPR Pudu Ulu tutup ketika tinjauan rumah PPR yang disewakan kepada warga asing. - Foto Rosela Ismail

"Ops Sejahtera di PPR Jalan Pudu Ulu meliputi tiga aspek iaitu Penyewaan kepada pihak ketiga, tunggakan bayaran sewa dan penyalahgunaan unit rumah.

"Kami mengeluarkan notis peringatan kepada penyewa gagal menjelaskan bayaran sewaan bulanan. Lebih 50 peratus penyewa dikesan gagal melunaskan bayaran bulanan pada kadar RM124," katanya.

Mohamad Yusoff berkata dalam operasi semalam sebanyak 124 unit kediaman diperiksa masing-masing 10 rumah kosong atau terbiar, 46 penghuni keluar dan 16 tidak memberi kerjasama.

"Kami mengesan lima kediaman disewakan kepada pihak ketiga termasuk sebuah kepada bukan warga negara, manakala jumlah mempunyai tunggakan sewa adalah 53 buah," katanya.

39 dibaca
Berita Harian X