Sabtu, 2 April 2016 | 3:23pm

Siti Nurhaliza janji persembahan serba baharu malam ini


PENYANYI No 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza pada sesi latihan.

KUALA LUMPUR: Kali terakhir penyanyi pujaan Malaysia ini beraksi dalam konsert berskala besar di stadium adalah kira-kira enam tahun lalu.

Malam ini, penyanyi No 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza yang meraikan ulang tahun ke-20 pembabitannya dalam dunia seni, bakal menghiburkan peminat dalam Konsert Datuk Siti Nurhaliza and Friends di Stadium Negara yang dianjurkan Yonder Music dan Celcom Xpax.

Membuat persiapan rapi, Siti tidak mampu menyembunyikan perasaan gementar sebaik tirai konsert dibuka.

"Ini adalah konsert solo ke-11 Siti. Namun, ini konsert pertama yang diadakan Stadium Negara.

"Selepas sekian lama, debaran dan perasan gementar memuncak kerana sudah lama tidak mengadakan konsert di stadium.

"Siti berharap dapat memberi yang terbaik kepada mereka yang menggemari bakat Siti terutama peminat yang setia menyokong kerjaya seni Siti selama ini. Semoga dipermudahkan dan segala-galanya lancar," katanya.

Berbanding konsert terdahulu, konsert malam ini memberi dimensi dan kelainan kepada penerima trofi 'Outstanding Singer Of The Year' pada majlis penganugerahan McMilan Woods Global Award 2016.

"Berbeza dengan konsert sebelum ini, susunan muzik, konsep persembahan dan aspek lain ditentukan Yonder melalui perbincangan bersama.

"Siti akan diiringi 47 orang pemuzik orkestra tempatan dan kumpulan pemuzik dari New York, The Gotham All Stars.

"Pemuzik antarabangsa ini pernah bekerjasama dengan Katy Perry, Justin Timberlake, Mariah Carey dan P Diddy," katanya.

Atas faktor itu, Siti tambah berdebar dan menaruh kepercayaan kepada mereka untuk memberi impak berkesan dalam persembahan malam ini.

"Ini pasti menjadi pengalaman baharu buat Siti dalam meneroka sisi berbeza. Harap kesihatan Siti akan stabil untuk menjayakan konsert malam ini," katanya.

Selain muncul solo, Siti akan berkongsi pentas dengan penyanyi popular serantau seperti Anggun Cipta Sasmi, Afgan, Cakra Khan, Hafiz Suip, Faizal Tahir, Joe Flizzow dan SonaOne dalam persembahan malam ini.

30 dibaca
Berita Harian X