Sabtu, 2 April 2016 | 12:28pm

KPDNKK Perak rampas barangan tiruan dijual melalui internet


TIMBALAN Pengarah KPDNKK Perak, Mohd Khalis Kasim bersama pegawai KPDNKK menunjukkan barangan tiruan menggunakan jenama terkemuka yang dirampas di Bidor pada sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas barangan tiruan menggunakan jenama terkemuka sebanyak 792 unit bernilai RM284,350.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Mohd Khalis Kasim berkata, rampasan itu membabitkan jualan barangan tiruan yang dilakukan melalui perniagaan secara atas talian di negeri itu.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan pada jam 10.50 pagi semalam itu diketuai oleh Ketua Cawangan KPDNKK Tapah bersama sembilan penguatkuasa serta wakil Pemegang Cap Dagang memeriksa sebuah premis menjual pakaian, peralatan rumah dan salun di Bidor.

"Pemeriksaan dilakukan selepas risikan selama enam bulan oleh pemilik Cap Dagang membabitkan penjualan pakaian dan aksesori tiruan yang menggunakan jenama terkemuka seperti Louis Vuitton, Chanel, Yves Saint, Laurent, Bottega Vanetta dan Gucci.

"Hasil pemeriksaan di lokasi yang ditempatkan di tingkat atas kedai menemui pelbagai barangan tiruan terbabit serta satu bilik khas yang dihias dengan cantik bagi tempat penggambaran barangan palsu itu sebelum gambar itu dimuat naik ke dalam internet.

"Seorang lelaki berusia 20an yang berada di situ turut disoal siasat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khalis berkata, hasil siasatan awal mendapati barangan dijual bernilai RM100 sehingga mencecah ribuan ringgit diambil dari Hong Kong sebelum dijual ke negara ini dan Singapura.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Berita Harian X