Sabtu, 2 April 2016 | 8:00am
ONG Kim Sia melecur 40 peratus bahagian badan manakala, isterinya cedera ringan selepas rumah mereka di Kampung Pisang, Ulu Yam Lama, terbakar lewat malam semalam. - Foto ihsan bomba

Lelaki melecur, isteri cedera rumah terbakar


ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas C di Kampung Pisang, Ulu Yam Lama. - Foto ihsan bomba

KUALA KUBU BHARU: Seorang lelaki melecur manakala isterinya cedera ringan selepas rumah didiami mereka di Kampung Pisang Ulu Yam Lama, di sini, terbakar dalam kejadian lewat malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Ong Kim Sia berusia lingkungan 70-an melecur 40 peratus pada bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk menerima rawatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas C dan terbakar 60 peratus.

Katanya, tiga jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu dan Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 11.13 malam.

"Ketika bomba tiba api sudah pun marak membakar rumah berkenaan namun, berjaya dikawal.

"Mangsa yang melecur dan isterinya dihantar dengan ambulans ke HKKB sebelum bomba tiba. Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh 11 minit dan punca serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X