Isnin, 27 Oktober 2014 | 5:13pm
Sharifah Shahira atau Shiera bersama suami tersayang, Zulkifli Azhari atau Ijoy. - Foto Zaidi Mohamad

Sharifah Shahira tolong Ijoy di Enjoy's Corner

KUALA LUMPUR: Jarang sekali melihat Sharifah Shahira atau Shiera ini bergambar bersama suami tersayang, Zulkifli Azhari atau Ijoy. Bukan mengelak atau jual mahal tetapi kakak kepada Sharifah Sakinah ini selesa untuk tidak terlalu ke depan.

Barangkali juga beliau berasakan sudah tidak perlu semua itu kerana menganggap perhatian patut diberikan kepada artis muda dan popular, lalu beliau memilih untuk bersikap low profile. Cuma baru-baru ini ketika pertunangan Sakinah diadakan, gambar pasangan suami isteri itu dirakamkan.

Shiera dan Ijoy mendirikan rumah tangga pada 28 Februari 2003. Drama Mat Despatch yang pernah popular suatu ketika dulu menjadi saksi percintaan mereka terjalin. Februari depan genap 12 tahun usia perkahwinan mereka.

Dalam tempoh itu juga, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Airell, Airra dan Auddra. Shiera juga mempunyai seorang lagi anak, Allisya, 16, bersama bekas suami iaitu Jatt (Black Dog Bone).

Ketika bertemu penyampai radio Ultra dan duta pencuci pinggan mangkuk Joy itu, BH Online sempat bertanyakan beliau mengenai hasrat untuk menambah anak kerana sebelum ini beliau pernah merancang untuk berbuat demikian pada usia 40 tahun.

"Sekarang pun saya dan suami sudah berusia 40 tahun. Ikutkan suami masih nak tambah anak. Tapi saya rasa cukuplah dengan apa yang ada. Yang tiga ini pun tak terlayan jadinya," katanya.

Shiera turut bercerita mengenai kehidupannya bersama Ijoy sejak dulu hingga sekarang serta hubungan baik dengan ibu mentuanya, Maria Arshad.

"Kehidupan kami biasa-biasa saja. Soal glamor itu langsung saya tak fikirkan. Sejak hari pertama saya berlakon jadi watak tambahan, saya hanya nampak duit saja sebagai ganjaran. Macam sekarang pun berlakon jarang ambil sebab tak nak tinggal anak lama.

"Suami saya pun kini menguruskan food court bernama Enjoy's Corner di Taman Melawati. Dia ada berniaga air di sana dan selain itu ada pelbagai juadah makanan lain yang dijual di situ. Saya kalau berkesempatan akan ke sana untuk tolong suami apa yang patut," katanya.

Mengenai perkahwinan mereka, Shiera tidak mempunyai rahsia tertentu.

"Apa yang penting, kami kena berhubung untuk memberi tahu apa yang kami lakukan atau sedang berada di mana. Hormat menghormati itu biasalah. Suami saya ini jenis yang kadang-kadang susah nak angkat telefon dan orang akan selalu hubungi saya untuk bertanyakan dia.

"Saya pun tak terasa hati kalau ada yang selalu mengusik cakap dia (suami) lebih muda daripada saya. Hakikatnya kami sebaya dan cuma beza bulan saja. Saya lahir bulan Oktober dan dia bulan Ogos.

"Sudah lama berkahwin ini, kami tak terlalu kisah sangat apa yang orang fikir dan cakap mengenai kami. Cukup kami tahu posisi masing-masing. Kami lebih banyak berfikir daripada terlalu memeningkan kepala terhadap perkara yang tak mendatangkan faedah.

"Kami cool saja dan tak cepat melatah. Dulu masa awal perkahwinan, waktu muda belia biasalah ada tak serasi itu dan ini. Tapi sekarang sudah mula faham," katanya.

Shiera kini lebih memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai penyampai radio selain berlakon iklan dan menerima tawaran mengacara.

"Saya reda dengan apa saja rezeki yang ada," katanya tumpang gembira dengan pertunangan Sharifah Sakinah dan Aliff Adha baru-baru ini.

169 dibaca
Berita Harian X