Jumaat, 1 April 2016 | 6:02pm

Denggi dijangka memuncak Julai ini - Subramaniam


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada sidang media di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan meningkatkan operasi mencegah kawasan pembiakan nyamuk Aedes di 192 'titik panas' seluruh negara bermula 11 April ini dalam usaha mengawal penularan wabak demam denggi yang dijangka memuncak Julai ini.

Menteri, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata walaupun kes demam denggi menunjukkan penurunan iaitu 2,135 kes pada minggu ke-13 tahun ini berbanding 3,500 kes pada minggu ketiga, ia masih pada tahap yang membimbangkan.

Katanya, jika dilihat dari segi ramalan pada tahun lalu, kes denggi akan meningkat sekitar bulan Mei dan akan memuncak pada Julai. Justeru, langkah berjaga-jaga perlu diambil dari sekarang.

"Kita tidak mahu kes berkenaan terus meningkat dan mengambil langkah proaktif dengan menjalankan operasi pencegahan lebih awal supaya tempat pembiakan nyamuk Aedes dapat dimusnahkan," katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Tambah beliau, operasi berkala itu akan dijalankan selama dua bulan berturut-turut terutama di tapak pembinaan, yang masih menjadi kawasan mencatatkan kadar tertinggi pembiakan nyamuk Aedes iaitu sebanyak 31.8 peratus.

"Kita minta pemilik rumah dan kontraktor di tapak pembinaan supaya memberi kerjasama kepada pihak kementerian sebelum tindakan tegas dikenakan ke atas mereka.

"Jika tapak pembinaan tertentu dikesan mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes, kita akan arahkan supaya tapak berkenaan ditutup selama dua minggu," katanya.

Dr Subramaniam menegaskan, tapak pembinaan yang didapati berulang kali melakukan kesalahan sama akan didakwa di mahkamah dan sebarang permohonan mengurangkan kompaun tidak akan dilayan.

Operasi penguatkuasaan juga akan disertai pihak penguat kuasa seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya minta Kementerian Pendidikan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pengusaha makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hanya memasak makanan di tempat yang disediakan.

Ini berikutan insiden awal Mac lalu di mana tujuh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor didakwa termakan serpihan kaca dalam bihun goreng disediakan pihak pengusaha kantin di bawah RMT.

Katanya, laporan yang diterima menunjukkan pencemaran serpihan kaca terbabit mungkin berlaku ketika makanan dihantar ke sekolah dan bukannya semasa memasak.

Berita Harian X