Jumaat, 1 April 2016 | 11:31am

Solat hajat mohon hujan


Lebih kurang 100 orang menghadiri solat hajat memohon hujan yang diimamkan oleh Suhairi Yunos (depan) di Empangan Durian Tunggal. Majlis solat hajat ini dianjurkan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini. - Foto Khairunisah Lokman

ALOR GAJAH: Lebih 100 kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), termasuk pelajar dari dua sekolah tahfiz di negeri ini mengadakan solat hajat memohon hujan di Empangan Durian Tunggal di sini, pagi ini.

Program anjuran SAMB bermula jam 8 pagi itu disertai pelajar dari Pusat Tahfiz Darul Ulum Al-Islamiah, Masjid Lama, Balai Panjang, Malim dan Madrasah Darul Mutaqim, Paya Rumput.

Solat hajat dua rakaat itu diimamkan oleh kakitangan dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Suhairi Yunos.

Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Khalid Nasir, berkata solat hajat berkenaan adalah program tahunan dianjurkan oleh syarikat itu.

Beliau berkata, pihaknya terpanggil untuk mengadakan majlis berkenaan bagi memohon hujan rahmat berikutan fenomena cuaca panas melanda negara sejak dua bulan lalu.

"Solat hajat ini diadakan bagi memohon hujan kerana Empangan Durian Tunggal sudah tidak menerima hujan selama lebih dari 30 hari.

"Air empangan ketika ini berada pada paras amaran iaitu pada tahap 60 peratus, namun ia masih belum dianggap kritikal," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Berita Harian X