Khamis, 31 March 2016 | 10:05pm

Maraton malam di ibu negara 28 Mei

PETALING JAYA: Edisi sulung maraton malam menggunakan format larian berganti-ganti - ASICS City Relay Kuala Lumpur 2016 (ACR KL 2016) - pada 28 Mei ini dijangka disertai 625 pasukan membabitkan 2,500 peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif Spectrum Worldwide Chris Robb berkata, konsep baharu larian maraton itu membabitkan empat pelari bagi setiap pasukan.

"Acara akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu maraton penuh dengan jarak 42.195 kilometer (kg) dan separuh maraton 21km.

"Setiap anggota pasukan akan berlari sejauh 10.5km bagi acara maraton penuh manakala untuk separuh maraton, setiap peserta berlari sejauh 5.25km," kata Robb, yang juga pemilik acara itu serta penganjur ACR KL 2016.

Robb berkata acara itu akan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa serta sukan pelancongan.

"Dalam acara ini, pelari akan melalui beberapa mercu tanda Kuala Lumpur seperti Dataran Merdeka, bangunan Sultan Abdul Samad, Parlimen, Masjid Negara, Muzium Kesenian Islam, Taman Rama-rama dan Taman Botanikal Perdana," katanya.

Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi cityrelay.com.my mulai pukul 2 petang 5 April ini.

Sementara itu, pelari maraton negara, Edan Syah, tidak sabar untuk menyertai acara tersebut.

"Ia adalah sesuatu yang baharu untuk saya. Saya akan memilih beberapa rakan untuk mewujudkan satu pasukan," kata pelari berusia 29 tahun yang mencatatkan masa terbaik peribadinya pada dua jam 38 minit 15 saat di Maraton Tokyo bulan lepas.

"Ini adalah penyertaan kesembilan saya dalam maraton penuh. Saya menduduki tempat ke-264 daripada 37,000 peserta di Tokyo," katanya di sini hari ini.

Mengulas mengenai acara maraton yang tidak disenaraikan dalam Sukan SEA 2017, Edan percaya maraton mampu memberi impak besar di negara ini pada masa depan.

"Secara peribadi, saya percaya dengan catatan masa yang dilakukan, saya mampu menyumbang pingat untuk Malaysia dengan adanya latihan yang sistematik. Kebanyakan pelari maraton di negara ini berlatih sendiri," kata Edan. - BERNAMA

Berita Harian X